Pages

Thursday, September 8, 2011

Israel jangka intifada ke-3


TENTERA Israel meronda kawasan dekat tembok keselamatan sebagai langkah memantau penduduk Palestin ketika kempen membentuk negara berlangsung di PBB.
TENTERA Israel meronda kawasan dekat tembok keselamatan sebagai langkah memantau penduduk Palestin ketika kempen membentuk negara berlangsung di PBB.

Sedia serang penduduk Palestin tuntut pembentukan negara sendiri

TEL AVIV: Tentera Israel sedia menggunakan penembak curi, peluru hidup dan meriam ketika berdepan kemungkinan intifada ke-3 tercetus ketika penduduk Palestin berusaha memohon menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali gus pengiktirafan kepada pembentukan negara sendiri.

Pemimpin rejim Zionis dan beberapa pegawai tentera bimbang dengan kempen demonstrasi dan perhimpunan yang dirancang penduduk Palestin ketika pemimpin mereka berlepas ke New York untuk melobi menjadi ahli badan dunia itu.
Penduduk Palestin menegaskan bantahan akan dibuat secara aman, tetapi Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman, menuduh Pihak Berkuasa Palestin (PA) merancang pertumpahan darah.
Ketua Jawatankuasa Pertahanan dan Hal Ehwal Luar Parlimen, Shaul Mofaz, membangkitkan prospek Israel perlu memanggil askar simpanan untuk berdepan dengan demonstrasi besar-besaran itu.

Isnin lalu, seorang jeneral Israel, Mickey Edelstein, memberi amaran ‘pemberontakan di negara Arab’ di Asia Barat mungkin membuka jalan dengan pembabitkan golongan radikal yang berkemungkinan mencetuskan perang di rantau berkenaan.

“Penembak curi Israel akan dilengkapi sistem pengimejan yang dapat melihat sejauh satu kilometer dan boleh melepaskan tembakan ke arah kaki penunjuk perasaan.

“Peluru getah tidak akan digunakan sebaliknya peluru hidup dipakai jika ada ancaman terhadap tentera dan kawasan lintasan di antara Tebing Barat dan Israel,” katanya.
Sementara itu, di Belgrade, Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) kelmarin mengesahkan sokongan terhadap bidaan Palestin untuk menjadi anggota PBB pada mesyuarat peringkat menteri, kata Menteri Luar Mesir, Mohammed Kamel Amr.

“Kami akan terus menyokong usaha Palestin ketika sesi ke-66 Perhimpunan Agung untuk mengiktiraf negara merdeka Palestin berasaskan sempadan pada 4 Jun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, dan memohon kemasukan sebagai anggota penuh PBB,” katanya dalam sidang akhbar pada akhir pertemuan dua hari itu.

Kamel Amr, yang mempengerusikan mesyuarat itu, menyatakan kebanyakan anggota NAM sudah pun mengiktiraf negara Palestin. Dia, bagaimanapun. tidak dapat mengesahkan sama ada semua 118 negara anggota pergerakan itu akan mengundi menyokong Palestin mendapatkan keanggotaan PBB apabila Perhimpunan Agung badan dunia itu diadakan lewat bulan ini.

Rundingan langsung antara Israel dan Palestin tergantung sejurus selepas ia dilancarkan semula di Washington September lalu berhubung isu pembinaan penempatan. – AFP 

No comments: