Pages

Thursday, September 8, 2011

Lokasi persembunyian Gaddafi diketahui



BEBERAPA penduduk kelmarin menyaksikan kediaman Muammar Gaddafi yang ditawan
kumpulan pemberontak di Tripoli.

TRIPOLI, Libya – Seorang jurucakap kumpulan pemberontak yang menguasai sebahagian besar Libya menyatakan, mereka mengetahui lokasi persembunyian Muammar Gaddafi.
Jurucakap itu, Anis Sharif turut memberitahu semalam bahawa mereka kini menunggu masa yang sesuai untuk menangkap atau membunuh Gaddafi.
Menurutnya, pemimpin berusia 69 tahun itu masih berada di Libya dan dikesan dengan menggunakan khidmat risikan manusia serta teknologi moden.
Beliau enggan mendedahkan lokasi Gaddafi sedang bersembunyi tetapi memberitahu pemimpin Libya berkenaan kini bersembunyi di kawasan seluas 60 kilometer yang dikepung oleh pemberontak.
“Gaddafi tidak dapat keluar,” kata Anis.
Katanya, pihak pemberontak yang menubuhkan majlis tentera baharu di Tripoli sedang melakukan persiapan untuk menahan atau membunuh Gaddafi.
Menurut Anis, mengesan lokasi persembunyian Gaddafi itu membantu pihak pemberontak untuk memerintah Libya sepenuhnya.
Sementara itu, satu konvoi bersenjata membawa beberapa pegawai yang setia kepada Gaddafi serta beberapa lori yang sarat dengan muatan emas dan wang tunai dilaporkan memasuki negara jiran Libya, Niger pada Isnin lepas.
Rejim Gaddafi tumbang menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu selepas kumpulan pemberontak memasuki Tripoli yang merupakan ibu kota Libya dan tempat persembunyiannya sebelum beliau melarikan diri.
Pergolakan di Libya itu bermula Februari lalu dengan sejumlah penduduk berhimpun menentang kepimpinan Gaddafi di bandar Benghazi.
Peperangan kemudian meletus melibatkan tentera Gaddafi dengan kumpulan pemberontak.
Ketika ini, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mentadbir Libya buat sementara waktu. – Agensi, kosmo

No comments: