Pages

Friday, September 9, 2011

Gaddafi nafi lari ke Niger


Pemberontak melancarkan tembakan menggunakan kereta kebal dari Om El Khanfousa, 85 kilometer di timur Sirte, kelmarin. - Reuters



KAHERAH 8 Sept. - Muammar Gaddafi buat kali pertama hari ini tampil menafikan laporan mendakwa dirinya tidak lagi berada di Libya dan melarikan diri ke Niger selepas rejimnya ditumpaskan pemberontak Libya bulan lalu.
Dalam satu mesej audionya yang disiarkan oleh stesen televisyen di Syria, Al-Rai TV hari ini, Gaddafi turut meminta rakyat Libya terus menentang pemberontak.
"Kepada semua rakyat Libya yang saya sayangi, bumi Libya adalah milik anda dan anda perlu mempertahankannya daripada pengkhianat, anjing dan mereka yang berada di Libya untuk merampas negara ini,'' katanya.
Gaddafi menafikan meninggalkan Libya dan menyifatkan laporan itu sebagai satu penipuan dalam perang psikologi.
"Berapa banyak konvoi penyeludupan, pedagang dan orang ramai menyeberangi sempadan setiap hari ke Sudan, Chad, Mali dan Algeria.
"Ia seperti ini adalah kali pertama satu konvoi kenderaan pergi ke Niger,'' katanya.
Isnin lalu, laporan menyatakan satu konvoi kenderaan terdiri daripada 200 kereta membawa Gaddafi serta sekutu rapatnya memasuki Niger.
Di Libya, pertempuran antara pemberontak dan askar pro-Gaddafi terus berlaku di luar bandar Bani Walid, antara bandar terakhir yang masih dikuasai mereka yang setia kepada Gaddafi.
"Saki-baki tentera yang setia kepada Gaddafi melancarkan serangan ke atas pemberontak dari bandar tersebut tetapi pemberontak berjaya mempertahankan diri,'' kata komander pejuang pemberontak, Daw al-Salheen. - dpa

No comments: