Pages

Friday, September 9, 2011

Dua suspek pengganas ditahan di Jerman


Pegawai polis Jerman berkawal di pintu masuk sebuah masjid dan pusat budaya Islam selepas dua lelaki ditahan kerana disyaki membeli bahan letupan untuk satu serangan bom di Berlin, semalam. - Reuters



BERLIN 8 Sept. - Pihak berkuasa Berlin menahan dua lelaki hari ini selepas mereka disyaki memiliki bahan letupan yang dipercayai mahu digunakan dalam satu serangan bom menjelang ulang tahun serangan 11 September beberapa hari lagi.
Jurucakap polis berkata, pihaknya menahan rakyat Jerman berketurunan Lebanon dan rakyat Palestin dari Gaza yang masing-masing berusia 24 dan 28 tahun hari ini.
Polis turut menggeledah rumah suspek serta sebuah masjid di kawasan kejiranan Wedding, di sini.
Jelas jurucakap itu, pihak polis sebenarnya telah melancarkan siasatan dalam satu operasi diberi nama 'Rainshower' berhubung perkara itu beberapa bulan lalu, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Beliau juga enggan mengulas mengenai kaitan yang mungkin antara penahanan itu dengan serangan 11 September 2001 atau menjelang kunjungan Pope Benedict XVI pada 22 hingga 25 September ini yang bermula di Berlin.
Jurucakap pejabat pendakwa raya berkata, pihaknya telah melancarkan siasatan terhadap lelaki-lelaki itu kerana 'disyaki berhasrat melancarkan satu jenayah keganasan menentang negara'.
Menurut laporan akhbar harian Berliner Morgenpost, pihak berkuasa turut merampas bahan pendingin dan asid yang biasa digunakan untuk membuat bom.
Akhbar itu melaporkan, suspek sering menghabiskan masa atau bermalam di masjid di Wedding itu. Pihak berkuasa bagaimanapun enggan mengesahkan perkara tersebut. - AFP

No comments: