Pages

Friday, August 5, 2011

Majlis Keselamatan kecam Syria



Imej video yang dimuat naik daripada YouTube pada 31 Julai lalu merakamkan beberapa penunjuk perasaan Syria berlindung daripada terkena tembakan tentera Syria yang menggempur bandar Hama bagi mematahkan pemberontakan. - AFP


GENEVA 4 Ogos - Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengecam tentera Syria kerana menyerang orang awam dan mencabul hak asasi manusia, reaksi pertama selepas beberapa bulan pemberontakan tercetus di negara itu.
Keputusan itu dibuat selepas tentera Syria terus menyerang bandar Hama, 210 kilometer ke utara ibu negara Damsyik sejak hujung minggu lalu, tempat yang mempunyai sejarah penentangan.
Serangan tentera dibantu dengan kereta kebal dan pasukan penembak tepat itu berterusan sehingga semalam. Dilaporkan sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dalam tempoh lima hari lalu.
Kenyataan Majlis Keselamatan PBB itu menggesa pihak berkuasa Syria segera menamatkan keganasan dan melancarkan satu proses politik menyeluruh yang membolehkan rakyat Syria menikmati 'asas kebebasan' sepenuhnya, termasuk menyuarakan pendapat dan berhimpun secara aman.
Rejim Bashar al-Assad menggunakan tentera sejak pertengahan Mac lalu bagi mematahkan protes rakyat yang menuntut pembaharuan politik, operasi yang didakwa aktivis telah mengorbankan 1,700 orang awam.
Pemimpin Syria itu telah berjanji akan melaksanakan pembaharuan, tetapi Majlis Keselamatan kekecewaan kerana 'kurang usaha dilakukan' dan mahu Assad menunaikan janjinya.
Anggota Majlis Keselamatan dari Amerika Syarikat dan Eropah telah memberi tekanan supaya satu resolusi dikeluarkan bagi mengecam Syria, tetapi Rusia, China, India, Brazil dan Afrika Selatan menentangnya kerana menyifatkannya tidak menggalakkan rundingan, pembaharuan yang dijanjikan Assad serta menamatkan keganasan.
Mereka juga bimbang ia akan digunakan sebagai helah untuk campur tangan bersenjata di negara itu.
Sementara itu, Presiden Assad hari ini mengeluarkan satu dekri membenarkan kewujudan pelbagai parti di Syria.
Pada 24 Julai lalu, kerajaan memperkenalkan satu draf undang-undang berhubung kewujudan pelbagai parti yang akan menamatkan monopoli kuasa oleh Parti Baath pimpinan Assad sejak beberapa dekad, lapor agensi berita SANA. - AFP
utusan

No comments: