Pages

Friday, August 5, 2011

10 jam matikan 'rantai bom'


MADELEINE PULVER baring di atas sebuah pengusung beroda di sebuah hospital 
di Sydney kelmarin untuk diperiksa oleh doktor.


SYDNEY, Australia - Seorang lelaki bertopeng yang merantai bom palsu pada leher seorang gadis dan meninggalkan nota tebusan selepas dia menceroboh kediaman sebuah keluarga kaya di sini dipercayai cuba melakukan peras ugut, kata polis semalam.
Dalam senario mirip adegan filem cemas Hollywood, skuad pemusnah bom kelmarin mengambil masa 10 jam untuk mematikan bom yang dipasang pada leher gadis tersebut, Madeleine Pulver.
Madeleine, 18, tidak cedera manakala polis kemudian mendapati bom tersebut tidak mengandungi bahan letupan.
Seorang pegawai polis tempatan, Luke Moore berkata, satu nota peras ugut dilekatkan pada bom itu.
Dia bagaimanapun enggan mendedahkan kandungan mesej ugutan tersebut.
"Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai percubaan memeras ugut yang serius," kata Moore.
Drama itu bermula tengah hari kelmarin di kawasan penempatan elit Mosman di sini apabila keluarga Madeleine menghubungi polis dengan menyatakan, anak perempuan mereka diserang dan terdapat alat ganjil yang dilekatkan pada mangsa.
Polis yang dibantu skuad pemusnah bom, beberapa detektif dan perunding tebusan kemudian bergegas ke lokasi kejadian.
Kediaman-kediaman sekitarnya dikosongkan, beberapa jalan berhampiran ditutup manakala petugas bomba dan perubatan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
Selepas Madeleine dibebaskan, dia memberitahu polis bahawa seorang lelaki bertopeng memecah masuk ke kediaman mereka dan menangkapnya semasa dia berada di dapur.
Remaja itu berkata, lelaki terbabit memaksa dia untuk tidak bergerak semasa memasang bom palsu itu pada lehernya.
Penyerang itu kemudian melarikan diri.
Madeleine kemudian dihantar ke sebuah hospital untuk diperiksa.
Bapa Madeleine merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat teknologi maklumat.
- Agensikosmo

No comments: