Pages

Thursday, January 28, 2010

Lokasi pesawat Habsyah terhempas dikenal pasti

BEIRUT 27 Jan. – Pasukan kecemasan semalam semakin menghampiri lokasi bangkai sebuah pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas di Laut Mediterranean sejurus selepas berlepas dari sini dengan 90 orang di dalamnya.

Seorang jurucakap tentera Lebanon berkata, kotak hitam mengandungi data penerbangan belum ditemui tetapi pihaknya telah mencapai kemajuan besar.

“Kami sedang mengenal pasti lokasi pesawat terhempas dan mencapai kemajuan ke arah itu,” katanya.

Menurut beliau, pasukan kecemasan beroperasi tanpa henti sejak pesawat itu terhempas awal kelmarin tetapi cuaca buruk dan air keruh menjejaskan kerja mencari.

“Operasi mencari boleh dijalankan dengan lebih efisien dalam keadaan cuaca lebih baik,” kata beliau yang menyebut mengenai langit cerah dan laut tenang hari ini.

Menteri Pengangkutan, Ghazi Aridi awal hari ini turut melahirkan keyakinan pasukan mencari akan menemui lokasi pesawat hari ini.

Penerbangan 409 Ethiopian Airlines terhempas di Laut Mediterranean awal pagi kelmarin, beberapa minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri di Beirut dalam cuaca ribut.

Jet Boeing 737-800 yang menuju ke Addis Ababa itu membawa 90 penumpang dan krew. Kesemuanya dipercayai terkorban.

Pegawai Lebanon menolak kemungkinan nahas itu disebabkan keganasan atau sabotaj dan percaya cuaca buruk menjadi puncanya. – AFP

No comments: