Thursday, January 28, 2010
PAS kutuk penangkapan ISA, mahu 10 tahanan dibicarakan
Idris Ahmad
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 28 Jan: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk pengunaan Akta ISA terhadap 10 orang suspek pengganas termasuk beberapa pelajar asing dari luar negara. Salah seorang yang ditahan juga adalah rakyat tempatan.
PAS bertegas menolak penggunaan Akta ISA dan mahu 10 tahanan ini dibicarakan dimahkamah terbuka, kata Ketua Penerangannya, Ustaz Idris Ahmad.
Media hari ini menyiarkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein yang memberitahu, kerajaan menahan 10 dibawah ISA. Sembilan darinya rakyat asing manakala seorang warga tempatan. Kesmuanya didakwa terlibat dalam kegiatan keganasan. Namun, beliau tidak mendedahkan identiti mereka.
Bagi Idris, keengganan Menteri Keselamatan Dalam Negeri mendedahkan nama 10 suspek berkenaan menimbul kecurigaan kepada rakyat.
Sewajarnya identiti mereka didedahkan bagi menunjukan pihak Kerajaan benar-benar membuat tangkapan dan membuat siasatan penuh ke atas mereka, katanya.
Bagi Idris, penahanan dibawah Akta ISA tidak memberikan apa-apa jawapan kepada rakyat, kerana kita tidak tahu sama ada mereka benar-benar bersalah atau sengaja dikambing hitamkan demi untuk menunjukan Menteri keselamatan Dalam Negeri menjadi hero dalam membantu Amerika yang kini giat memburu Pengganas antarabangsa.
Malaysia sebelum ini terkenal sebagai negara transit kepada pendatang tanpa izin, transit kepada aktiviti pengedaran dadah, transit kepada aktiviti pelacuran, transit kepada aktiviti penjualan bayi, transit kepada pengubahan wang haram, transit kepada aktiviti cetak rompak dan negara transit kepada pengganas.
Tetapi itu semua tidak bermakna Kerajaan boleh menangkap orang sesukahati tanpa membuktikan mereka bersalah dimahkamah, katanya.
Menurut beliau, adalah satu kezaliman jika orang yang dituduh itu tidak bersalah tetapi ditahan dibawah akta ISA dan terpaksa melalui musim-musim penderaan yang mengerikan untuk tempoh masa sekurang-kurangnya 2 tahun di Kamunting atau di Kluang.
"PAS yakin, dengan tindakan terbaru ini jelas rakyat sudah melihat bukti bahawa Malaysia adalah negara Polis, dan Menteri yang juga ahli Politik Barisan Nasional bebas menahan sesiapa sahaja tanpa perlu membuktikan kesalahan mereka.
"Maka, tidak mustahil juga akta ini akan digunakan suatu hari nanti kepada pemimpin-pemimpin Politik atau rakyat yang tidak bersetuju dengan parti Menteri tanpa perlu dibuktikan kesalahan mereka," katanya.
Ops Lalang dan penangkapan pemimpin Reformasi membuktikan perkara berkenaan. Sehingga kini, katanya, mangsa yang telah bebas tidak tahu apakah kesalahan mereka hingga terpaksa merengkok dalam penjara dan disiksa.
Pihak Polis juga hingga kini gagal membuktikan kesalahan mereka dan jelas segala pertuduhan yang dibuat semasa penahanan adalah fitnah.
Sehubungan itu, PAS mendesak Kerajaan mendakwa 10 tahan ini bersama tahanan-tahanan sedia ada dimahkamah dan mansuhkan akta ISA.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment