Pages

Thursday, January 28, 2010

Taman tema ABBA di London

LONDON 27 Jan. - Kumpulan muzik Sweden, ABBA yang popular dengan lagu seperti Waterloo dan Dancing Queen serta rekod jualan sebanyak 400 juta album sejak 1970-an selain kejayaan di atas pentas dan filem muzikal Mamma Mia!, kini dijelmakan dalam taman tema ala muzium dengan muzik, cenderamata dan laluan peringatan untuk semua peminatnya.

Penganjur pameran ABBA World yang dimulakan hari ini berjanji ia akan menjadi 'tempat interaksi sepenuhnya' dengan kumpulan itu.

Keraian bermula malam tadi dengan parti yang dihadiri dua bekas anggota ABBA sendiri, Bjorn Ulvaeus dan Anna-Frid 'Frida' Lyngstad.

"Bagaimana kalau kita berpelukan sesama sendiri. Ia lebih kepada menyertai Mamma Mia! berbanding pameran. Kami mahu pengunjung menyanyi dan menari," kata Presiden Touring Exhibitions, Magnus Danielsson, syarikat pengendali ABBA World.

Dendangan muzik ABBA kedengaran di sana sini, dari lagu rancak penuh semangat Dancing Queen hinggalah irama melankolik Knowing Me, Knowing You dan The Winner Takes It All iaitu lagu peringatan yang mana kumpulan itu bermula dengan dua pasangan suami isteri yang berakhir dengan perceraian.

Pameran menyajikan cerita-cerita mengenai ABBA dalam 25 buah bilik seluas 2,800 meter persegi. Bekas-bekas kaca memaparkan kostum sutera, satin dan spandex. Pengunjung boleh menikmati suasana Polar Studios tempat kumpulan itu merakamkan lagu dan kabin pesisir pantai Stockholm di mana Ulvaeus dan Benny Andersson menulis lirik-lirik lagu terkenal.

Satu sudut turut menempatkan helikopter yang dijadikan gambar kulit album Arrival pada 1976.

Elemen interaktif memberi peluang kepada pengunjung menjawab kuiz, mencipta semula muzik dengan meja komposer atau menari serta menyanyi dengan animasi ABBA menerusi teknologi video holografi.

Satu panduan audio yang dikarang oleh pelakon Sweden, Stellan Skarsgard yang membintangi versi filem Mamma Mia! menjejak sejarah ABBA dari kumpulan remaja amatur hingga menjadi bintang. Nama mula ditempa pada 1974 apabila ia menjadi pemenang mengejut dalam Pertandingan Nyanyian Eurovision melalui lagu Waterloo.

ABBA yang dianggotai Andersson, Ulvaeus, Lyngstad dan Agnetha Faltskog yang berpecah pada 1980-an dan bertekad tidak akan kembali bersama, bersetuju tentang projek tersebut dan mendermakan memorabilia serta rakaman temuramah yang disiarkan dalam pameran berkenaan. - AP
Add to Google

No comments: