Pages

Thursday, January 28, 2010

Barak: Palestin lebih bahaya dari ‘bom Iran’

BAITULMAQDIS 27 Jan. – Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak menyifatkan ketiadaan perjanjian damai dengan Palestin sebagai ancaman yang lebih besar terhadap masa depan negara Yahudi itu daripada sebarang ‘bom Iran.’

Barak membuat kenyataan itu semalam dalam syarahan di sebuah universiti yang disiarkan oleh stesen televisyen Israel.

Beliau mengetuai Parti Buruh yang merupakan kem paling sederhana dalam kerajaan Israel yang dikuasai oleh parti-parti berhaluan kanan.

Menteri Pertahanan itu melawat Mesir hari ini untuk mengadakan rundingan dengan Presiden Hosni Mubarak yang dijangka tertumpu kepada usaha untuk menyambung semula proses damai Israel-Palestin.

“Ketiadaan penyelesaian melibatkan sebuah negara Israel dan sebuah negara Palestin, dan bukannya bom Iran atau sebarang ancaman luar yang lain, menimbulkan ancaman paling serius terhadap masa depan Israel,” kata Barak.

Israel yang dipercayai satu-satunya kuasa nuklear di Asia Barat telah mendesak kuasa Barat supaya mengenakan sekatan lebih ketat ke atas Iran bagi memaksanya menghentikan program nuklearnya.

Teheran mendakwa program itu bertujuan semata-mata untuk menghasilkan tenaga elektrik tetapi Israel melihatnya sebagai ancaman terhadap kewujudannya.

Rundingan damai Israel-Palestin terhenti sejak akhir 2008 apabila Israel melancarkan serangan selama tiga minggu ke atas Genting Gaza.

Sejumlah 1,400 penduduk Palestin dan 13 rakyat Israel terbunuh dalam konflik itu.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menuntut Israel menghentikan segala kegiatan pembinaan perumahan Yahudi di wilayah Palestin sebelum rundingan boleh disambung semula.

Beliau menolak pembekuan sementara kegiatan pembinaan yang diarahkan oleh Israel pada November lalu dan menyifatkannya sebagai tidak memadai. – Reuters

No comments: