Pages

Thursday, January 28, 2010

Mangsa gempa Haiti terperangkap 12 hari berjaya diselamatkan


ANGGOTA tentera Amerika Syarikat memberikan bantuan perubatan kepada seorang lelaki yang didapati terperangkap selama 12 hari dalam runtuhan bangunan dipercayai akibat gempa bumi kedua di Port-au-Prince, Haiti, semalam. – AFP

PORT-AU-PRINCE 27 Jan. – Pasukan penyelamat terkejut apabila berjaya menarik keluar seorang mangsa yang masih hidup walaupun selepas 12 hari tertimbus di bawah runtuhan, ketika ramai penduduk yang terdesak mahu lebih banyak bantuan diberikan semalam.

Mangsa terselamat yang terbaru ini tidak terperangkap dalam gempa bumi 7.0 pada skala Richter 12 Januari lalu namun dua hari kemudian, kemungkinan disebabkan gegaran susulan kuat selepas itu.

“Dia tertimbus selama 12 hari. Lelaki itu mengalami patah kaki dan kehilangan air dalam badan yang banyak,” demikian menurut kenyataan tentera Amerika Syarikat (AS) yang menemui lelaki itu dalam runtuhan sebuah bangunan Port-au-Prince, yang secara kebetulan dinamakan Rue de Miracles.

Lelaki berusia 31 tahun diselaputi debu itu dapat bertahan dengan air yang sedikit dan berada dalam keadaan baik selepas 12 hari berada di bawah runtuhan, rekod paling lama dalam bencana gempa bumi Haiti setakat ini.

Port-au-Prince digoncang dengan dua gegaran, dua minggu selepas gempa bumi kuat membunuh sekurang-kurangnya 150,000 orang, menakutkan penduduk dan memaksa mereka tidur di luar bangunan.

“Kami tidak dapat membiasakan diri dengan gegaran-gegaran ini. Setiap gempa susulan menakutkan dan semua orang berasa gerun,” kata seorang peniaga, Edison Constant.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) sebelum ini telah memberi amaran negara pulau di Laut Caribbean ini akan mengalami gempa bumi berterusan sehingga bulan depan. - AFP

No comments: