PADA 21 Ogos 2008, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meninjau kemudahan pengangkutan awam dengan menaiki tren komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan sistem transit aliran ringan (LRT).
Daripada situ, beliau mendapati perkhidmatan itu tidak sistematik, jadual ketibaan tidak teratur, gerabak tidak mencukupi dan liputan laluan tidak meluas.
''Saya lihat tadi keadaan tren yang digunakan untuk penumpang pergi kerja setiap pagi. Mereka sentiasa berebut-rebut bila tren tiba. Dari segi itu nampaknya macam tak ada sistem. Ini yang saya rasa tidak senang hati kerana rakyat tidak mendapat satu kepuasan daripada menggunakan tren. Ini kita kena perbaiki,'' katanya kepada Bernama.
Itulah hasil lawatan yang dilakukan oleh Perdana Menteri pada tahun lalu. Penulis menyelak semula isu ini kerana sudah lima bulan, keadaan bukan saja tidak banyak berubah tetapi tidak berubah. Lebih-lebih lagi komuter. Sering kedengaran pengumuman tren batal, tren tertahan, tren mengalami kelewatan dan tren padat. Sampai bila keadaan ini akan berlaku? Siapa yang akan mengubahnya? Adakah kerajaan yang dipilih rakyat mahu mengubahnya atau rakyat yang perlu mengubahnya?
Pengalaman menaiki komuter pada peringkat awal dulu memang menyeronokkan kerana ia mudah, selesa dan cepat. Namun kini ia satu perjalanan yang membosankan.
Pengalaman menaiki komuter pada Jumaat lalu menjelaskan bahawa hasrat Perdana Menteri mahu melihat perubahan tidak menjadi kenyataan. Umpama pungguk rindukan bulan.
Tujuan penulis menaiki komuter pada hari itu ialah untuk menyaksikan Festival Pembangunan Ekonomi Islam 2009 (i-Fest'09) yang bermula 22 Januari lalu dan berakhir hari ini di Mid Valley Exhibition Centre Kuala Lumpur.
Disebabkan tahu keadaan sesak di Kajang, maka penulis bersama seorang anak lelaki berusia 9 tahun ke stesen UKM Bangi. Di situ untuk mengambil tiket terpaksa berbaris panjang kerana jangan harap untuk mendapatkan tiket melalui mesin jika anda tidak mempunyai tukaran wang secukupnya. Puncanya juga disebabkan ramai penuntut UKM nak balik kampung - sambut Tahun Baru Cina. Bila tren sampai, memang tidak ada tempat duduk. Terpaksalah berdiri sehingga sampai ke Mid Valley.
Dan pengalaman untuk kembali ke Kajang pada sebelah malam sekali lagi memeritkan. Menjelang Maghrib, penulis cuba dapatkan komuter.
Memang benar kata Pak Lah seperti dalam lawatannya tahun lalu.
Kata Pak Lah: Saya dapati memang tren-tren ini cukup sesak dengan penumpang, ada yang tunggu sampai tiga tren tak dapat naik.
Penulis tidak dapat menaiki empat tren tetapi terpaksa juga merempuh tren berikutnya kerana ini bukan lagi cubaan tetapi satu realiti. Jika tidak, tak sampailah ke rumah.
Puncanya sudah tentu ada kaitan orang balik kerja dan cuti perayaan.
Beberapa 'adegan' menarik dapat disaksikan dalam tempoh menanti tren. Pertama, tren memang padat. Apabila pengumuman berikutnya dibuat bahawa tren komuter ke Seremban akan tiba dalam masa 10 minit, para penumpang diingatkan bahawa ''keadaan tren terlalu padat''.
Dua puluh minit kemudian, sebelum tren datang sekali lagi pengumuman dibuat bahawa tren juga padat dan menasihatkan penumpang menaiki tren berikutnya. Okey, tak apa, biarkan orang lain berebut. Pengumuman berikutnya, tren akan tiba dalam masa 10 minit. Bagaimanapun tidak lama kemudian, timbul pengumuman, tren tertahan di Stesen KL Sentral bagi memberi laluan kepada tren antara bandar. Tren komuter yang tiba kemudiannya juga sesak. Dan penumpang dinasihatkan supaya menaiki tren berikutnya yang akan tiba dalam masa lima minit. Sekali lagi, tak apa, lima minit bukannya lama.
Dalam tempoh itu, satu peristiwa yang menarik berlaku di platform laluan ke KL Sentral. Seorang penumpang marah-marah apabila dia juga tidak dapat menaiki tren mungkin setelah dua atau tiga tren penuh sesak. Yang menyebabkan dia marah apabila penumpang di dalam tren tidak mahu memenuhi ruang kosong. Dia memarahi polis bantuan yang gagal mengawal keadaan. Anggota polis bantuan pula menjawab bahawa mereka tidak cukup kakitangan. Kenapa hal ini boleh berlaku?
Dan lima minit kemudian, tren komuter ke Seremban tiba dan amat mengejutkan ia sekali lagi padat. Ini bermakna, tidak ada usaha untuk memantau jumlah keperluan penumpang pada waktu-waktu tertentu. Bayangkan hampir tiga jam, tren yang datang terus sesak. Di dalam tren, anda tidak perlu berpaut kepada mana-mana tiang atau pemegang kerana memang terlalu padat.
Seorang wanita Cina ketika masuk ke dalam tren di stesen Bandar Tasek Selatan berkata: ''Mau pegi satu stesen tunggu dua jam...naik kereta pun boleh sampai Ipoh..'' katanya yang mengempiskan badannya supaya pintu komuter boleh ditutup rapat. Andai berlaku sesuatu pada pintu itu ketika tren sedang bergerak, maka mautlah menyapanya dan Tahun Baru Cina hari ini akan menjadi hari keluarga meratap pemergiannya.
Dipendekkan cerita, komuter kini umpama bas mini masa dulu-dulu. Rasanya ikan sardin di dalam tin pun berada dalam kedudukan yang lebih selesa berbanding manusia di dalam perut kereta api itu. Begitulah gambaran yang dapat diberikan terhadap sistem pengangkutan awam terutama komuter. Keadaan yang sama juga berlaku di dalam perkhidmatan bas RapidKL. Jumlah penumpang tidak mampu ditampung oleh bas.
Inilah sistem pengangkutan kita. Kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan sistem pengangkutan awam tetapi tidak menyokong dengan sistem yang terbaik menyebabkan pengguna bosan. Ketika harga minyak naik, khabarnya jumlah penumpang kenderaan awam bertambah sedikit tetapi apabila mereka merasai betapa seksanya untuk ke tempat kerja dan sebaliknya, maka penurunan harga minyak menyebabkan mereka kembali membawa kenderaan masing-masing. Puncanya seperti kata Pak Lah, kita tidak ada sistem.
Jika dah tahu pada waktu-waktu tertentu sesak, kenapa tidak ada jalan penyelesaian yang dapat mengurangkan kesesakan? Contohnya, kesesakan bagi laluan melibatkan KL - Kajang. Mungkin boleh diperkenalkan laluan KL-Kajang bagi tempoh tertentu supaya khidmat tren lebih kerap.
Satu perkara lagi, kerahlah kakitangan di stesen yang penumpangnya ramai seperti di Mid Valley supaya penumpang dapat memenuhi setiap ruang kosong yang ada. Mungkin polis bantuan perlu bergerak dari satu gerabak ke satu gerabak. Pastikan setiap ruang dipenuhi penumpang sebelum pintu komuter diselak. Bukan lagi sekadar memerhati supaya penumpang berdiri di belakang garisan kuning semasa komuter tiba atau tidak berebut-rebut ketika menaiki komuter.
No comments:
Post a Comment