Pages

Thursday, January 28, 2010

Kisah Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dulu dan sekarang

MENYAMBUNG Selak minggu lalu, mengenai Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, yang segalanya sudah berubah.

Bangunan tetap sama tetapi suasana di luar dan dalam bangunan sudah bertukar. Malahan 'isi' DUN juga berubah. Seperti diselak minggu lalu, DUN Pulau Pinang 'berwajah baru'.

Tetapi seorang pembaca secara sinis berkata, bertuahlah wakil rakyat di Pulau Pinang kerana dapat bersidang dalam bangunan yang 'berubah wajah' dan 'selamat'.

Beliau bertanya, tahukah penulis bahawa ada sekumpulan wakil rakyat yang hanya mampu bersidang di bawah pokok atau menumpang di sebuah hotel? Tidak perlulah diulas perkara ini kerana semua sudah maklum siapa yang dimaksudkan. Tindakan kebudak-budakan itu sekadar mencari publisiti murah. Malahan mampu menjadi bahan menarik untuk paparan media.

Kini puak itu secara tidak langsung sudah mengiktiraf DUN yang sebenarnya. Tiada lagi DUN bawah pokok.

Kembali ke Pulau Pinang, dulu wakil rakyat DAP (sebelum 2008) sebagai pembangkang kini menjadi pemerintah manakala Barisan Nasional (BN) yang memerintah sejak sekian lama kini sebagai pembangkang.

Lebih parah apabila Gerakan yang sebelum ini mengetuai kerajaan semasa bersama Perikatan dan BN tidak mempunyai wakil rakyat, yang tinggal hanyalah wakil-wakil UMNO. Semua kerusi milik Gerakan, MCA dan MIC berpindah kepada DAP atau PKR. Sementara beberapa kerusi yang menjadi kubu UMNO juga beralih kepada PKR dan Pas.

Jika dulu Karpal Singh atau Lim Kit Siang bertindak sebagai ketua pembangkang, kini tanggungjawab itu beralih kepada wakil UMNO.

Begitulah hebatnya sentuhan Setiausaha Agung DAP dari Kota Melaka yang membawa tsunami politik ke Kota Cornwallis, Padang Kota Lama (bangunan DUN terletak berhampiran). Maka perubahan itu menyebabkan wakil rakyat BN pula seringkali angkat kaki sama ada keluar Dewan atau digantung kehadiran. Ini termasuklah baru-baru ini apabila Ketua Pembangkang (BN), Azhar Ibrahim diarah keluar Dewan kerana didakwa berkelakuan kurang sopan. Bukan kali pertama Ketua Pembangkang diperintah keluar DUN Pulau Pinang.

Perkara yang sama dirasai oleh Ketua Pembangkang terdahulu termasuk Karpal dan Kit Siang. Mereka pernah diperintah keluar Dewan atau digantung menghadiri persidangan.

Contohnya pada bulan Mac 1985, Karpal (DAP-Bukit Gelugor) pernah digantung daripada menghadiri sidang DUN.

Disebabkan ketika itu, bangunan Dewan tidak berpagar, maka mereka yang dilarang masuk, bebas bergerak di lobi Dewan.

Maka untuk menghalang seseorang daripada masuk ke dalam dewan persidangan, pintu masuk ke dalam Dewan terpaksa diselak (dikunci). Dalam kes Karpal, seorang pegawai polis, Inspektor Bhupinder Singh pernah dipanggil untuk menasihatkan Karpal meninggalkan bangunan Dewan tetapi wakil rakyat itu masuk juga ke lobi dan mengadakan sidang akhbar.

Pada satu ketika disebabkan longgarnya kawalan di bangunan DUN, bilik Speaker yang tidak berkunci pernah menjadi lokasi sidang akhbar pembangkang. Begitulah suasana unik di DUN Pulau Pinang sebelum ini.

Isu letak jawatan juga bergema pada masa lalu. Jika sekarang, terdapat desakan pembangkang supaya Guan Eng meletak jawatan, perkara yang sama juga berlaku sebelum ini. Dulu Karpal yang tidak berpuas hati dengan perbelanjaan rawatan Dr. Lim Chong Eu pernah melabelkan Ketua Menteri itu sebagai menipu dan mengkhianati rakyat dan mahu beliau melepaskan jawatannya.

Turut menarik perhatian untuk diselak kembali di DUN Pulau Pinang ialah bagaimana buku Peraturan Am Dewan melayang ke arah Speaker DUN, Ooi Ean Kwong pada 11 Jun 1990.

Ketika itu DAP mempunyai 11 ADUN yang diketuai oleh Kit Siang. Insiden bermula apabila Kit Siang mempersoalkan kenapa Speaker menarik balik usulnya mengenai pemilihan Senator.

Speaker memaklumkan perkara itu sudah dijelaskan secara bertulis. Beliau mengarahkan Kit Siang duduk tetapi ADUN itu enggan dan menimbulkan isu Dr. Lim Keng Yaik yang didakwa sebagai pembohong.

Kit Siang mengeluarkan akhbar Cina yang melaporkan Keng Yaik menghantar Speaker ke Pusat Tahunan Kamunting untuk memujuk beliau menyertai BN. Kit Siang meminta jawapan Speaker sama ada betul atau tidak.

Kata Kit Siang: "Tuan Speaker tak berani jawab. Betul atau tidak. Kalau tidak, Keng Yaik adalah pembohong''. Speaker enggan menjawab dan meminta Kit Siang menarik balik tuduhan. Kit Siang tetap meminta penjelasan 'benar atau tidak'.

Speaker kemudian menggantung keahlian Kit Siang mengikut Seksyen 51 (1) Peraturan Am Dewan dan memerintahkan Kit Siang keluar Dewan. Bagaimanapun Kit Siang enggan sehingga Dewan terpaksa ditangguhkan sementara.

Apabila disambung, Kit Siang tetap enggan keluar. Speaker terpaksa meminta bantuan polis. Akhirnya Ketua Polis Georgetown, Penolong Pesuruhjaya Ali Abu Bakar dan seorang pegawai lagi masuk ke dalam Dewan untuk membawa Kit Siang keluar. Kit Siang akhirnya berjalan keluar sambil mengangkat tangan dan berkata: Shame to you. Apabila Dewan bersambung, Chian Heng Kai (DAP-Berapit) pula mendakwa Speaker tidak menggunakan peraturan wajar dalam menarik balik usulnya dan meminta penjelasan. ADUN itu meminta supaya penasihat undang-undang menjawab jika Speaker tidak mampu berbuat demikian. Speaker mengarahkan Heng Kai duduk tetapi beliau enggan sehingga Speaker mengarahkan wakil rakyat itu keluar Dewan. Keengganan Heng Kai menyebabkan Speaker meminta bantuan polis.

Bagaimanapun Karpal (DAP Bukit Gelugor) membantah dan berkata: ''Polis tidak ada hak dalam Dewan. Jangan sentuh dia. Saya bercakap sebagai seorang peguam. Jangan sentuh dia''.

Polis kemudiannya membawa Heng Kai keluar. Karpal terus mempertikaikan tindakan Speaker. Beliau dilaporkan bangun dan meluru ke depan lalu mencampakkan buku Peraturan Am ke arah Speaker sambil berkata: Kalau Tuan Speaker faham baca dulu." Karpal kemudiannya keluar Dewan.

Begitulah suasana di dalam DUN Pulau Pinang, bangunan yang menyimpan pelbagai sejarah suka duka kerajaan BN dan kini DAP.

Dalam erti kata lain, sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan dan sebaliknya berhadapan dengan situasi ini. Jika dulu sebelah pihak sana sering berkata, Speaker tidak adil, tidak faham, ketua menteri menipu dan berbohong, jawapan tidak betul, tidak telus dan pelbagai tuduhan atau dakwaan lain tetapi kini perkara itu timbul semula. Cuma 'watak' yang membangkitkan isu itu sahaja berbeza.

Benarlah hidup ini ibarat roda yang sentiasa berputar, bergerak ke atas dan ke bawah.
Add to Google

No comments: