Oleh Hassan Mohd. Noor
MENGANGGAP diri berada di zon selesa sedangkan hakikatnya menghampiri jurang berbahaya. Begitulah kesimpulan yang boleh dibuat berikutan Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Najib Tun Razak hampir tidak diluluskan pada 14 Disember lalu.
Semuanya gara-gara ramai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak hadir ketika pengundian dilakukan. Akibatnya usul itu diluluskan dengan majoriti tipis.
BN menang pengundian dengan memperoleh 66 undi manakala pakatan pembangkang PKR-DAP-Pas mendapat 63 undi.
Agak aneh juga kenapa pada saat-saat genting begitu, ramai wakil rakyat BN ‘menghilangkan diri’ .
Mungkinkah mereka tidak tahu kesan kepada kerajaan BN jika Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri tidak diluluskan. Sebagai wakil rakyat, pastinya mereka lebih arif dalam perkara ini.
Mereka juga mempunyai tanggungjawab besar untuk menghadirkan diri pada setiap kali mesyuarat sekalipun sekadar menunjuk muka. Sama ada di Dewan Rakyat atau di Dewan Undangan Negeri (DUN), mesyuarat bukanlah sepanjang masa yang berkehendakkan mereka berada di Dewan. Ada tempoh dan hadnya. Jadi usahlah meremehkan kehadiran.
Kadangkala ada wakil rakyat yang tidak sedar ketidakhadirannya memberi implikasi besar kepada kedudukan diri, parti dan juga kerajaan.
Lebih-lebih lagi dalam keadaan musuh sentiasa memerhati gerak laku mereka untuk mengambil peluang daripada kelalaian.
Bagaimana jika ada usul tertentu yang terpaksa dibenarkan oleh Speaker Dewan Rakyat untuk dibahas dan diundi bagi kelulusan serta merta? Jika usul yang boleh memihak kepada kerajaan, mungkin tidak timbul masalah.
Tetapi bagaimana jika di sebaliknya yang bertujuan menjatuhkan kredibiliti kerajaan? Peribahasa Melayu ada mengingatkan: Pelanduk (lah) melupakan jerat tetapi jerat tidak melupakan pelanduk (orang mudah melupakan bahaya tetapi bahaya tetap mengancam).
Ternyata dalam isu meluluskan Bajet 2010, pakatan pembangkang tidak pernah berputus asa untuk mencari ruang ‘memalukan’ kerajaan BN sedangkan pihak penyokong kerajaan masih berasa selesa selepas dilanda tsunami politik pada Mac 2008.
Mungkin BN sudah melupakan hasrat pakatan pembangkang mahu membentuk kerajaan pada 16 September 2008. Tetapi pembangkang tidak pernah ‘memadam’ hasrat itu. Apakah dalam hal ini, pakatan pembangkang lebih cerdik daripada pelanduk?
Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan wakil rakyat BN lebih selesa dan memiliki sikap tidak apa sehingga ia membuka ruang kepada pembangkang untuk ‘memalukan’ kerajaan BN. Sikap ‘kelam kabut’ hanya berlaku ketika menjelang pilihan raya umum.
Sebaliknya pembangkang sentiasa berusaha untuk mencapai cita-cita mereka termasuk usaha membentuk kerajaan.
Maka tidak hairanlah apabila laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan DAP lebih aktif mendaftar pengundi baru. Tempat kedua diduduki Pas diikuti UMNO dan PKR. Manakala yang paling lembab adalah MIC dan Gerakan.
Kerjasama SPR dengan parti-parti politik adalah menerusi Penolong Pendaftar Sementara (PPS) yang diberi kuasa oleh badan itu untuk berbuat demikian. Menurut SPR lagi, PPS daripada DAP mengatasi parti-parti lain di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Melaka. Memang sejak sekian lama, DAP begitu aktif mencari pengundi baru.
Jika satu-satu keputusan pilihan raya menunjukkan mereka kekurangan satu jumlah undi yang kecil, maka mereka berusaha untuk mendapatkan pengundi baru dalam jumlah berkenaan yang diharap membantu mereka.
Sesuatu yang menarik juga ialah kesedaran kaum Cina sebagai pengundi adalah yang paling tinggi sementara terendah adalah kaum India.
Manakala daripada kira-kira 3.7 juta orang yang belum mendaftar sebagai pengundi, peratus terbesar ialah orang Melayu diikuti kaum India dan Cina.
Adakah ini menunjukkan orang Melayu masih berasa selesa dengan kedudukan ‘majoriti’ mereka di negara ini? Adakah UMNO yang mempunyai jumlah ahli yang ramai dapat memastikan mereka juga teramai sebagai pengundi?
Mungkinkah, di kalangan ahli UMNO terdapat mereka yang gagal mendaftar sebagai pengundi? Mungkinkah mereka juga terdiri daripada ketua bahagian yang tidak pernah mendaftar sebagai pengundi atau tidak pernah keluar mengundi? Semuanya ini bukanlah sesuatu yang mustahil.
Sikap tidak apa menjadi punca kepada keadaan ini. Majoriti akan menjadi minoriti selepas berpecah kepada kumpulan kecil. Setiap undi itu amat berharga. Justeru tidak hairanlah DAP begitu bersungguh-sungguh untuk mencari pengundi baru.
Hasilnya kini usaha gigih mereka telah menunjukkan hasil terutama di Pulau Pinang. Banyak kerusi yang pernah mereka kalah dalam majoriti kecil kini sudah berada dalam tangan.
Ketika genggaman mereka (DAP) semakin kuat di Pulau Pinang, Gerakan pula seolah-olah semakin dilupakan. Seorang demi seorang yang pernah menjadi ‘orang kuat’ Gerakan meninggalkan parti itu. Mereka meninggalkan Gerakan ketika parti itu terkapai-kapai dalam kesusahan.
Apakah Gerakan yang selama ini menjadi tulang belakang kerajaan negeri Pulau Pinang mampu bangkit semula seperti yang ditunjukkan sebelum ini? Gerakan yang kini diterajui oleh bekas Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang, Dr. Koh Tsu Koon perlu berusaha untuk bangkit semula. Masa semakin suntuk.
Mungkin bagi membolehkan Gerakan menumpukan perhatian kepada usaha untuk bangkit semula di Pulau Mutiara itu, sudah tiba masanya jawatan Pengerusi BN Negeri Pulau Pinang diserahkan kepada parti yang mendapat sokongan rakyat iaitu UMNO.
Gerakan bolehlah memberi fokus mereka untuk ‘membina’ semula kekuatan supaya rakyat dapat menerima semula parti itu dan juga BN. Jangan salahkan orang lain disebabkan kehilangan sokongan pada pilihan raya umum lalu. Ukurlah baju di badan sendiri.
Justeru hasrat UMNO Pulau Pinang yang mahukan jawatan Pengerusi BN perlu diberi perhatian oleh Gerakan. Malangnya Tsu Koon menutup pintu rundingan, tidak mahu berkompromi dengan jawatan itu.
Jika UMNO boleh merestui jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri diserahkan kepada ‘orang luar’ kenapa Gerakan juga tidak boleh berbuat demikian? Lebih-lebih lagi, suara Gerakan sudah ‘hilang’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Daripada 40 kerusi, DUN negeri itu dikuasai oleh pakatan DAP (19), PKR (9) dan Pas (1). UMNO pula mempunyai 11 kerusi. Parti komponen lain iaitu Gerakan, MCA dan MIC tidak mempunyai sebarang kerusi. Ibarat pulau sudah lenyap, daratan sudah tenggelam.
Adalah lebih elok dengan kedudukan UMNO sebagai ketua pembangkang di DUN Pulau Pinang, serta parti komponen yang mendapat mandat, jawatan Pengerusi BN disandang oleh UMNO.
Sudah terlalu banyak UMNO berkompromi termasuk dalam soal pembahagian kerusi. UMNO juga pernah berkompromi dalam isu jawatan KM. Apabila UMNO menang lebih besar berbanding Gerakan dalam pilihan raya umum sebelum ini terdapat desakan supaya jawatan KM diberikan kepada wakil UMNO.
Namun atas semangat pemuafakatan BN dan menghormati prinsip status quo, maka UMNO hanya meminta jawatan Timbalan KM diperkenalkan.
Begitulah kompromi yang sering dilakukan oleh UMNO. Kompromi itu menunjukkan parti itu bukannya gila kuasa tetapi untuk menjaga kekuatan dan kesepaduan BN.
Apalah ada pada kerusi Pengerusi BN. UMNO tidak mungkin meminta jawatan KM sekiranya BN pulih di Pulau Pinang. Seperti disebut awal-awal lagi, BN kini bukan lagi berada di zon selesa. Jika ada yang menganggap selesa sekali pun tetapi zon selesa itu di pinggir jurang berbahaya. Maka sesuatu perlu dilakukan.
Bagi UMNO, memulihkan BN adalah segala-galanya. Dan jangan pula ada di kalangan sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan membuat pelbagai andaian terhadap hasrat UMNO ini.
Siapa sangka akan ada suara-suara sumbang yang akan menganggap permintaan UMNO itu sebagai satu isu perkauman, rasis, tidak menggambarkan 1Malaysia dan macam-macam lagi.
No comments:
Post a Comment