Pages

Tuesday, July 17, 2012

Tentera tidak akan benarkan Mesir dikuasai hanya satu golongan

KAHERAH: Pegawai kanan tentera Mesir berkata, tentera tidak akan membiarkan “satu kumpulan” mendominasi negara berkenaan.
Panglima Tentera Mesir, Hussein Tantawi, berkata negara itu tidak akan tumbang kerana ia adalah milik semua rakyat dan bukan hanya satu kumpulan.

“Tentera tidak akan membenarkan ia berlaku,” katanya dalam kenyataan disiar agensi berita Mena, semalam. Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Ikhwanul Muslimin yang memenangi pilihan raya negara itu baru-baru ini.
Ia juga meningkatkan ketegangan hubungan di antara tentera dan kumpulan Ikhwanul Muslimin selepas pemimpin pertubuhan Islam itu, Dr Mohamed Mursi, disahkan memenangi pilihan raya Presiden Mesir.

Kenyataan Hussein itu dikeluarkan beberapa jam selepas dia mengadakan rundingan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton.

Dalam pertemuan itu, Hillary menyatakan, tentera perlu menyokong proses peralihan kuasa daripada pentadbiran sedia ada kepada pemerintahan awam. Politik negara itu masih terumbang-ambing akibat perebutan kuasa di antara Mohamed Mursi dan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir yang diketuai Hussein. - AFP

No comments: