Pages

Tuesday, July 17, 2012

Pertempuran sengit di Damsyik

Pemberontak berkawal di kawasan Tadhamon di pinggir Damsyik, kelmarin. - REUTERS
DAMSYIK 16 Julai - Ibu negara Syria digegarkan dengan bunyi letupan apabila tercetus pertempuran sengit antara tentera kerajaan dan pemberontak membabitkan penggunaan kereta kebal dan mortar.
Pertempuran itu yang dianggap paling sengit sejak tercetus pemberontakan di negara ini 16 bulan lalu, dilaporkan berlaku di bahagian selatan bandar ini iaitu di Tadhamon dan Midan serta kawasan berhampiran kem pelarian Palestin.
Kepulan asap hitam dilihat di ruang udara di pinggir bandar ini ketika tentera kerajaan berusaha mengusir Tentera Pembebasan Syria (FSA) dari Damsyik.
Pertempuran itu berlaku ketika wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab, Kofi Annan bersiap sedia menemui Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov untuk membincangkan konflik di Syria.
Beliau dijangka menggesa Lavrov memberi tekanan kepada pihak berkuasa Syria untuk memulakan peralihan kuasa politik, walaupun koresponden BBC Moscow, Steve Rosenberg melaporkan hanya terdapat sedikit petunjuk Kremlin bersedia melakukannya.
Sementara itu, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) mengisytiharkan konflik di Syria kini sebagai perang saudara.
Ini bermakna pertempuran di negara ini kini telah tertakluk kepada Konvensyen Geneva dan membolehkan pendakwaan jenayah perang dibuat terhadap mereka yang terlibat pada masa depan.
ICRC sebelum ini hanya mengisytiharkan beberapa kawasan di sekitar Idlib, Homs dan Hama sebagai zon perang.
BBC melaporkan, pertempuran antara tentera kerajaan dan FSA dilihat semakin menghampiri pusat bandar Damsyik dan kubu kuat tentera kerajaan. - AGENSI

No comments: