Pages

Tuesday, July 17, 2012

Pergerakan Islam Pakistan berarak ke sempadan

Beberapa buah trak membawa bekalan NATO menuju ke sempadan Torkham dekat Torkham pada 12 Julai lalu menuju ke Afghanistan, selepas Pakistan membuka semula laluan bagi penghantaran bekalan NATO melepasi sempadannya, baru-baru ini. - AFP
ISLAMABAD 15 Julai - Kira-kira 5,000 anggota pergerakan Islam Pakistan yang menentang program kerjasama antikeganasan dengan Washington, semalam berarak ke sempadan negara ini bagi membantah pembukaan semula laluan bagi penghantaran bekalan NATO ke Afghanistan.
Mereka menaiki bas, trak dan kereta dengan mengibarkan bendera pergerakan perikatan Pertahanan Pakistan.
Mereka akan berhenti di beberapa bandar utama sepanjang perjalanan sejauh 120 kilometer dari Quetta hingga ke bandar Chaman yang bersempadan dengan Afghanistan.
Mereka dijangka tiba di Chaman, hari ini.
Pengerusi Pertahanan Pakistan, Maulana Samiul Haq berkata, mereka mengambil tindakan itu bagi membantah pembukaan semula laluan bagi penghantaran bekalan NATO itu.
''Kami memberi amaran, kerajaan perlu keluar daripada program perang terhadap keganasan ini.
''Jika mereka rasa perang AS hanya terhadap Afghanistan, mereka adalah salah. AS akan menjadikan semua negara Islam sebagai sasaran selepas memperkukuhkan kawalan ke atas Afghanistan,'' katanya ketika pelancaran konvoi tersebut.
Katanya, pihaknya tidak akan membenarkan AS berbuat demikian.
Pakistan membuka semula laluan bagi penghantaran bekalan kepada konvoi NATO pada 3 Julai lalu selepas menutupnya sebagai membantah serangan udara Amerika Syarikat (AS) yang mengakibatkan kematian 24 askar Pakistan pada November lalu. - AFP

No comments: