Pages

Tuesday, July 17, 2012

40 penduduk Gaza ziarah tahanan tanpa bicara di Israel

GAZA: Israel membenarkan 40 penduduk Palestin dari Gaza melawat saudara mereka yang ditahan di penjara negara Yahudi itu, semalam.
Ia adalah lawatan pertama dibenarkan sejak lima tahun lalu. Jurucakap Perkhidmatan Penjara Israel berkata, kebenaran diberi sebagai melaksanakan perjanjian dicapai Mei lalu bagi membolehkan tahanan terbabit menamatkan mogok lapar.

Dalam mogok besar-besaran itu, kira-kira 1,600 tahanan tanpa bicara di penjara Israel menolak semua makanan bagi menuntut diberi hak serta keadaan yang lebih baik.
Jurucakap itu berkata, seramai 40 orang saudara kepada 24 tahanan tiba sebentar tadi di Penjara Ramon.

“Selepas ini lawatan berkenaan akan diadakan secara mingguan,” katanya.

Israel melarang ahli keluarga tahanan dari Gaza melawat penjara pada 2007 - hanya beberapa bulan selepas pejuang Palestin menculik seorang tentera Zionis, Gilad Shalit.
Israel turut menamatkan semua bahan pendidikan untuk tahanan terbabit, selain mengehadkan akses kepada televisyen. Antara tuntutan tahanan itu ialah hak menerima lawatan daripada ahli keluarga dan menamatkan dasar menahan penduduk Palestin yang disyaki sebagai pengganas tanpa perlu dihadapkan ke mahkamah. Dasar itu dikenakan ke atas 320 daripada 4,800 penduduk Palestin yang dipenjara di Israel.

Mereka menamatkan mogol lapar pada Mei lalu selepas Mesir menjadi orang tengah dalam rundingan di antara kedua-dua pihak. Walaupun Israel bersetuju mengubah sesetengah dasarnya, rejim Zionis terbabit tetap enggan berjanji untuk menamatkan dasar tahanan tanpa bicara itu. Ia kononnya terpaksa dilakukan atas alasan keselamatan dan melindungi penyalur maklumat. - Reuters

No comments: