MOSCOW: Russia semalam menuduh Barat menggunakan kaedah “peras ugut” untuk mendapat sokongan terhadap sekatan yang mungkin dikenakan Majlis Keselamatan PBB ke atas Syria.
Menteri Luar, Sergei Lavrov, berkata Moscow kesan wujud unsur itu dalam usaha Barat mengekang rejim Presiden Bashar al-Assad.
“Kami diberitahu untuk bersetuju meluluskan resolusi yang turut membabitkan Fasal 7 (menyediakan kemungkinan sekatan) atau menolak memanjangkan mandat misi pemantau.
“Russia melihat pendekatan ini benar-benar tidak produktif dan berbahaya,” katanya di sidang media mengenai langkah antarabangsa menamatkan keganasan di Syria sejak 16 bulan lalu.
Pembangkang mendakwa, lebih 17,000 orang terbunuh setakat ini. Kenyataan itu juga dibuat menjelang pertemuan Lavrov dengan wakil khas PBB dan Liga Arab, Kofi Annan. Lavrov turut menekankan bahawa “tidak realistik” bagi Barat mengharapkan Russia dapat meyakinkan Bashar untuk berundur daripada jawatannya hanya kerana kedua-dua negara mempunyai hubungan baik sejak lama dulu. “Kami mendengar komen menyatakan kononnya ‘kunci terhadap penyelesaian isu Syria akan ditemui di Moscow’ “Apabila kami meminta penjelasan, mereka mengatakan Russia mesti meyakinkan Bashar supaya berundur,” katanya.
Bagaimanapun, kata Lavrov, Bashar tidak akan melepaskan kuasanya dan ia bukan disebabkan Russia melindungi pemimpin itu. “Ia disebabkan ada sejumlah besar rakyat Syria di belakang Bashar,” katanya.
- AFP
No comments:
Post a Comment