LONDON: Himpunan beribu-ribu surat, dokumen dan gambar pemimpin India, Mahatma Gandhi ketika pemimpin itu berada di Afrika Selatan akan dilelong di London bulan depan dan dijangka meraih £500,000 hingga £700,000 (RM2.4 juta hingga RM3.3 juta).
Dokumen berkenaan, berjumlah beberapa ribu dan disusun dalam 18 fail, milik Hermann Kallenbach, yang disifatkan rakan rapat Gan-dhi selepas mereka bertemu di Johannesburg pada 1904.
Walaupun ada sebahagiannya berada dalam simpanan Gandhi, material daripada keluarga, rakan, sekutu dan Kallenbach sendiri menjadikan koleksi itu adalah sumber utama biografi salah seorang tokoh paling tua bermula pada abad ke-20.“Majoriti daripada koleksi ini tidak diketahui dan tidak pernah disiarkan serta tidak digunakan oleh sarjana sejak satu atau dua generasi terakhir. Ini adalah bahan penting yang menambah kepada pengetahuan kita mengenai Gandhi dan kehidupannya,” kata pakar buku dan manuskrip di Sotheby, Gabriel Heaton. Pusat lelongan berkenaan akan menjual arkib itu.
Dokumen berkenaan akan dilelong sebagai lot tunggal pada 10 Julai dalam kategori jualan Sejarah dan Kesusasteraan Inggeris.
Sotheby turut mengendali jualan surat Gandhi kepada Kallenbach pada 1986 yang meraih £140,000 (RM693,401).
“Beliau adalah antara tokoh terkemuka pada abad ke-20. Cuma ada segelintir individu yang mempunyai kesan hebat seperti itu kepada sejarah dunia.
“Tidak seperti tokoh lain, Gandhi tidak pernah membabitkan tentera, yang menjadikan beliau unik,” kata Heaton ketika diminta menjelaskan koleksi Gandhi kepada pengumpul dan sejarawan.
Keghairahan kepada barangan kenangan Gandhi tidak menunjukkan tanda reda sejak dulu. Malah contoh tanah dan tompok rumput berdarah dikatakan dari tempat Gandhi dibunuh pada 1948 dijual pada harga £10,000 (RM50,000) dalam satu lelongan di Britain April lalu, manakala kaca mata tokoh itu dibeli pada harga £34,000 (RM166,600).
Kallenbach bertemu Gan-dhi pada 1904 di Afrika Selatan, negara yang menjadi tempat tinggal pemimpin itu selama 20 tahun sebelum kembali ke India pada 1915.
Kallenbach, Yahudi Afrika Selatan kelahiran Jerman, adalah arkitek yang terpengaruh dengan Gandhi dan ideanya.
“Banyak surat merujuk kepada kepentingan persahabatan mereka dan bagaimana Kallenbach menyokong Gandhi meskipun ramai tidak mahu,” jelas Heaton. – Reuters
No comments:
Post a Comment