Pages

Thursday, June 14, 2012

70 orang maut di Baghdad



SEBUAH bangkai van dialihkan dengan menggunakan sebuah kren selepas satu serangan bom berlaku di Baghdad semalam.


BAGHDAD - Satu siri serangan bom dan tembakan di sini dan beberapa tempat lain di Iraq semasa satu upacara agama puak Syiah diadakan telah mengorbankan lebih 70 orang dan mencederakan puluhan yang lain semalam, kata beberapa pegawai keselamatan dan perubatan.
Serangan itu yang turut menyebabkan lebih 200 orang cedera berlaku semasa penduduk Syiah memperingati kematian Imam Moussa al-Kadhim.
Seorang ketua polis dan doktor berkata, daripada jumlah itu, seramai 19 orang terbunuh dalam dua bom kereta di bandar Hilla, tengah Iraq.
Beberapa pegawai keselamatan dan perubatan memberitahu, sekurang-kurangnya 12 orang maut dalam sembilan letupan bom dan dua kejadian tembakan di sini yang turut mencederakan puluhan mangsa.
Di ibu negeri wilayah Diyala, Baquba, sembilan bom tepi jalan, sebuah bom kereta dan satu kejadian tembakan meragut nyawa lima orang dan mencederakan 15 yang lain.
Seorang ketua polis berpangkat leftenan kolonel memberitahu, serangan turut berlaku di Balad, utara bandar raya ini dengan empat orang terbunuh dan 24 lagi cedera dalam dua kejadian bom kereta.
Angka kematian tersebut disahkan oleh seorang pegawai pemerintah tempatan.
Keganasan seterusnya berlaku di bandar Al-Azizyah, selatan bandar raya ini yang melibatkan satu serangan bom kereta yang meragut dua nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya dua lagi mangsa.
Setakat ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu. - Agensi

No comments: