WASHINGTON 13 Jun - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), hari ini bersiap sedia untuk melancarkan teleskop baru ke orbit yang menggunakan daya penglihatan tenaga tinggi X-ray bagi mengesan lubang gelap di angkasa lepas.
Teleskop yang diberi nama Teleskop Spektroskopi Nuklear (NuSTAR) itu akan dibawa ke orbit menggunakan jet sebelum dilancarkan dengan roket Pegasus.
"Pelancaran di udara menggunakan bantuan jet lebih menjimatkan kos berbanding pelancaran di darat, malah penggunaan minyak juga dapat diminimumkan," kata NASA menerusi satu kenyataan.
Projek tersebut bertujuan untuk mengkaji fenomena tenaga seperti lubang gelap dan letupan bintang.
Jet yang membawa teleskop itu akan berlepas dari Kwajalein Atoll di Kepulauan Marshall pada kira-kira pukul 10.30 malam ini.
"NuSTAR akan membuka mata seluruh dunia mengenai misteri angkasa lepas dan menjadi teleskop pertama yang menggunakan tenaga X-ray.
"Penggunaan tenaga itu membolehkan teleskop tersebut merakam gambar 10 kali lebih jelas dan 100 kali lebih sensitif berbanding teleskop lain," kata Profesor Fiona Harrison dari Institut Teknologi California.
Dilengkapi dengan 133 cermin pada setiap dua unit optikal, teleskop tersebut juga menggunakan pengesan imej yang dapat mengenal pasti jarak kedudukan, sekali gus merakam gambar yang lebih tajam.
Teleskop sepanjang 10 meter itu akan dilancarkan pada posisi dilipat ke atas, namun akan berkembang sehingga menjadi panjang sebuah bas sekolah dalam masa seminggu selepas pelancaran. - AFP
No comments:
Post a Comment