Pages

Saturday, March 10, 2012

Rumah hangus api sambar tong generator

SURIYATI (kiri) bersama adiknya, Nurul Ashikin dan Norihan mencari barang berharga selepas rumah mereka hangus  di Kuala Terengganu, semalam. - Foto Tengku Syamim Tengku Ismail
SURIYATI (kiri) bersama adiknya, Nurul Ashikin
dan Norihan mencari barang berharga selepas
rumah mereka hangus di Kuala Terengganu,
 semalam. - Foto Tengku Syamim Tengku Ismail
 

KUALA TERENGGANU: Kelalaian seorang peniaga pasar malam menuangkan minyak petrol ke dalam tangki generator membawa padah apabila kediamannya di Kampung Manir, di sini, terbakar dalam masa setengah jam, mengakibatkan mangsa mengalami kerugian lebih RM200,000, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Abdul Aziz Mohamad, 66, sedang merebus kerang menggunakan dapur gas di rumahnya sebagai persiapan berniaga di pasar malam.
Sementara menunggu kerang masak, dia mengisi minyak petrol dalam generator diletak berdekatan dapur gas menyebabkan api dapur menyambar minyak sedang dituang itu.
Ketika itu, tiga anak perempuannya, Suriati Abdul Aziz, 30; Norihan, 23 dan Nurul Ashkin, 20, sedang berehat di ruang tamu selepas selesai memasak, manakala dua lagi anak lelakinya, Mohd Syamsul, 28 serta Faizal Azli, 25, tiada di rumah kerana sedang berniaga di pasar pagi berhampiran rumahnya. 

“Saya cuba memadamkan api dengan menyimbah air ke arah generator yang terbakar, tetapi tidak berhasil apabila api marak dan menyambar dinding dapur. 

“Ketika itu juga, saya menjerit meminta tiga anak perempuan menyelamatkan diri kerana api marak dengan cepat sambil meminta bantuan jiran menghubungi bomba,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Beliau berkata, Suriati sempat meredah asap tebal masuk ke dalam bilik tidurnya mengambil wang tunai dan beberapa dokumen peribadi sebelum berlari keluar ketika api marak membakar rumahnya. 
Bagaimanapun, Mohd Syamsul dan Faizal yang cuba meredah api untuk mengambil wang tunai berjumlah RM5,300 disimpan dalam bilik tidurnya, gagal berbuat demikian. 

Berikutan kebakaran itu, Abdul Aziz yang juga duda bersama lima anaknya terpaksa menumpang sementara di rumah milik jirannya berhampiran tempat kejadian.

No comments: