Pages

Saturday, March 10, 2012

AS sedia bom serang Iran

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


WASHINGTON 9 Mac - Sebuah bom seberat 13.6 tan yang direka untuk menembusi konkrit setebal 65 meter sebelum meletup ialah 'senjata hebat' yang boleh digunakan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) jika pertempuran meletus dengan Iran berhubung program nuklearnya.
Timbalan ketua staf bagi operasi tentera udara AS, Leftenan Jeneral Herbert Carlisle semalam berkata, bom raksasa tersebut yang baru diterima oleh tentera AS tahun lepas adalah sebahagian senjata yang boleh digunakan oleh tentera AS ke atas negara-negara seperti Iran yang mempunyai beberapa loji nuklearnya di bawah tanah.
"Bom penembus raksasa itu ialah senjata hebat yang terus kita pertingkatkan bagi menjadikannya lebih hebat.
"Ia sebahagian daripada senjata kita dan berpotensi kita gunakan dalam senario seperti itu," kata Carlisle pada satu persidangan mengenai program pertahanan AS.
Pentagon sudah mula merancangkan langkah-langkah ketenteraan jika sekatan dan diplomasi gagal menghalang Teheran daripada meneruskan program nuklear yang didakwa oleh kuasa Barat bertujuan untuk membina senjata nuklear.
Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta memberitahu akhbar National Journal dalam wawancara semalam, perancangan sudah dijalankan 'sejak lama dahulu'.
Kuasa-kuasa dunia semakin bimbang mengenai program pengayaan uranium Iran yang mereka lihat sebagai sebahagian usaha untuk membina senjata atom, tetapi Teheran berkata, program nuklearnya hanya untuk menghasilkan tenaga bagi kegunaan awam.
Israel juga bimbang mengenai potensi Iran untuk memiliki senjata nuklear dan Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu semasa lawatan ke Washington baru-baru ini berkata, masa semakin suntuk untuk diplomasi dan sekatan memberikan kesan.
Sementara itu di Vienna, enam kuasa dunia terdiri daripada AS, Britain, China, Jerman, Perancis dan Rusia menggesa Iran membuka tapak ketenteraan Parchin kepada pemeriksa daripada badan nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
IAEA mahu pemeriksanya dibenarkan masuk ke tapak Parchin dekat Teheran, di mana Iran dipercayai menjalankan simulasi letupan kepala peluru berpandu nuklear. - REUTERS/DPA

'via Blog this'

No comments: