Pages

Saturday, March 10, 2012

Penentang Bashar tolak syor Annan


KAHERAH: Penentang kerajaan Syria menolak cadangan wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab ke Damsyik, Kofi Annan supaya Presiden Bashar al-Assad dan penberontak berhenti berperang dan mencari penyelesaian politik di meja rundingan.

“Pembunuhan perlu dihentikan dan kita perlu cari jalan melakukan pembaharuan yang sesuai dan terus maju,” kata Annan kelmarin di Kaherah menjelang lawatannya ke Damsyik hari ini.


Pembangkang di Syria kecewa dengan cadangan berkenaan dan berkata penindasan yang dilakukan kerajaan memusnahkan peluang untuk mengadakan rundingan mencari penyelesaian.
Lebih 7,500 penduduk terbunuh disebabkan kekerasan tentera kerajaan terhadap penentang Bashar, dakwa badan dunia itu.

“Kami membantah sebarang dialog ketika kereta kebal menyerang bandar kami, penembak curi menembak wanita dan kanak-kanak serta banyak kawasan terputus dengan dunia tanpa bekalan elektrik, komunikasi atau air disebabkan tindakan rejim,” kata seorang pembangkang, Hadi Abdullah.

Seorang aktivis memberitahu Reuters, desakan Annan supaya dialog diadakan kedengaran seperti petanda untuk menggalakkan Bashar terus menindas penggerak revolusi.

Sementara itu, ketua agensi kemanusiaan PBB, Valerie Amos, dalam satu misi berbeza ke Syria, berkata dia kecewa dengan kemusnahan yang disaksikan di daerah Baba Amr di Homs, dan mahu mengetahui apa sebenar berlaku kepada penduduknya yang dikepung selama 26 hari oleh tentera sebelum pemberontak berundur seminggu lalu.
Amos adalah pegawai kanan asing pertama melawat Baba Amr sejak kerajaan melancarkan serangan di bandar raya itu.

Tekanan dunia ke atas Syria yang semakin memuncak menyusuli tindakan Timbalan Menteri Minyak negara itu berpaling tadah.

Abdo Hussameldin, 58, berkata dia sedar tindakannya itu akan menyebabkan anggota keluarganya berdepan pendakwaan.

Dua kumpulan pemberontak kemudian berkata, empat lagi pegawai tertinggi tentera berpaling tadah sejak tiga hari lalu dan berada di kem tentera yang menyokong pemberontak di selatan Turki.

Jurucakap Tentera Syria Merdeka (FSA), Leftenan Khaled al-Hamoud, memberitahu agensi berita, tindakan itu menjadikan bilangan pegawai berpangkat brigadier jeneral yang belot meningkat kepada tujuh orang.

Di Damsyik, pihak berkuasa terus menyerang penentang Bashar. Tentera kerajaan menembak dan mencederakan tiga orang di majlis pengebumian seorang tentera yang berpaling tadah.

Majoriti rakyat Syria adalah penganut mazhab Sunnah, bangun menentang pemerintah dibantu kumpulan bersenjata ringan menghadapi 30,000 anggota tentera, polis rahsia dan militia Alawiah yang ditakuti. –Reuters

No comments: