Pages

Saturday, March 10, 2012

James Cameron mahu selami Jurang Mariana

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



James Cameron akan menyelam menggunakan kapal selam khas Deepsea Challenger dalam Cabaran Kedalaman Jurang Mariana, di Lautan Pasifik. - AFP


WASHINGTON 9 Mac - Pengarah filem Titanic, James Cameron akan cuba menyelam di dasar laut paling dalam berbanding yang pernah dilakukan pada misi solo sebelum ini, bagi mendapatkan pelbagai maklumat dan imej dari kawasan tersebut.
Institusi saintifik National Geographic, yang bakal bekerjasama dengan pengarah filem itu untuk projek Cabaran Laut Dalam semalam mendedahkan, Cameron akan cuba melengkapkan misi tersebut, supaya ia memperoleh hasil mengagumkan sebagaimana filem yang pernah dihasilkannya sebelum ini.
Ketika melakukan cubaan di Papua New Guinea Selasa lalu, Cameron memecah rekod menyelam lebih dalam daripada yang pernah dicatatkan dalam mana-mana misi solo, dengan catatan 8.2 kilometer.
Pengarah terkenal itu berhasrat muncul individu pertama mengharungi Cabaran Kedalaman Jurang Mariana, yang memiliki kedalaman 11 kilometer di Lautan Pasifik, serta membawa pulang maklumat dan spesimen dari kawasan tersebut.
Cameron, 57, berkata, dia maklum tentang bahaya yang dihadapinya semasa melakukan cubaan berkenaan.
"Apabila anda menghasilkan filem, semua orang membawa skrip dan mereka tahu apa yang berlaku selepas itu.
"Namun ia berbeza dengan ekspedisi. Alam semula jadi tidak mempunyai skrip, laut juga tidak mempunyai skrip dan siapa pun tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu," katanya.
Pada 1960, dua anggota tentera laut Amerika Syarikat (AS) menggunakan sejenis bot khas dipanggil Trieste dalam satu misi yang mencatat sejarah apabila berjaya sampai ke jurang tersebut.
Mereka menghabiskan masa selama 20 minit, namun gagal mendapatkan imej menarik kerana pemandangan yang kabur dan kurang kelengkapan.
Kapal selam khas Deepsea Challenger yang bakal digunakan Cameron, dijangka mampu menyelam sehingga enam jam di dasar laut, membolehkannya memfilemkan pengembaraan itu menggunakan kamera definisi tinggi (HD) dan tiga dimensi (3D) serta dibantu lampu LED setinggi 2.4 meter.
The Deepsea Challenger boleh menyelam secara menegak, mempunyai ketinggian lapan meter dan menggunakan buih khas yang direka bagi membolehkan beratnya hanya 12 tan ketika selaman dilakukan, iaitu kira-kira 12 kali lebih ringan daripada berat sebenar. - AFP

'via Blog this'

No comments: