Pages

Saturday, March 24, 2012

RM50,057 pampasan keluarga mangsa bunuh renjer Thai





2012/03/24

BANGKOK: Kerajaan Thailand memberi pampasan awal 500,000 baht (RM50,057) kepada setiap keluarga empat penduduk kampung yang ditembak mati renjer tentera di Pattani dan mempertimbangkan memberi tambahan tujuh juta baht (RM700,804) kepada saudara mangsa, kata Kementerian Pertahanan. 

Jurucakap kementerian itu, Kolonel Thanathip Sawangsaeng, berkata Majlis Pertahanan semalam mengakui laporan berasaskan fakta bahawa renjer separa tentera tersilap membunuh empat orang awam tidak bersalah di daerah Nong Chik di wilayah Pattani, Januari lalu.
Pampasan ditawarkan kepada saudara mara setiap penduduk kampung yang dibunuh. Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) pada mulanya memberi 500,000 baht kepada setiap keluarga.
Thanathip berkata, SBPAC dan jawatankuasa kerajaan dalam strategi pembangunan untuk wilayah sempadan selatan akan membuat pertimbangan jika renjer tentera yang membunuh penduduk kampung mengambil langkah tidak wajar dan melampau serta melanggar hak mangsa. 

Jika mereka didapati berbuat demikian, setiap seorang mangsa yang terbunuh akan mendapat tambahan tujuh juta baht. 

Dua jawatankuasa mengumpul fakta diketuai pegawai kanan Arahan Operasi Keselamatan Dalaman dan pengerusi jawatankuasa Islam Pattani membuat kesimpulan bahawa penduduk kampung yang terbunuh dan cedera dalam kejadian itu tidak bersalah dan pihak yang menjadi mangsa layak menerima pampasan. 

Panel mencadangkan renjer tentera yang menembak mangsa perlu berdepan tuduhan jenayah. 
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Sukumpol Suwanatat berkata tambahan kepada pampasan awal akan dipertimbangkan berdasarkan peraturan sedia ada. 

Sementara itu, seorang penduduk kampung cedera parah akibat sebutir bom meletup di daerah Cho Airong, Narathiwat pagi Rabu dan meninggal dunia semalam di sebuah hospital tempatan. 

Ahama Jehma cedera parah apabila serpihan bom mengenai kepalanya ketika minum teh di sebuah kedai berhampiran lokasi letupan bom di perkampungan Ban Buera-ngae. 

Pihak berkuasa sedang memeriksa sebutir bom yang diletakkan dalam sebuah kotak besi apabila ia meletup, mengorbankan seorang renjer tentera serta merta. – Agensi

No comments: