Pages

Saturday, March 24, 2012

Askar AS tidak ingat serangan





2012/03/24

pix_gal0
Peguam bela dedah strategi selepas tentera hadapi 17 tuduhan jenayah

KANSAS: Askar Amerika yang terbabit menembak mati orang awam di selatan Afghanistan, Staf Sarjan Robert Bales, 38, semalam didakwa dengan 17 pertuduhan membunuh, selain enam dakwaan melakukan serangan dan cubaan membunuh. 

Bales dipercayai meninggalkan pangkalannya, Kem Belamby di Kandahar pada 11 Mac lalu, menuju ke dua buah kampung, Balandi dan Alkozai, menyerbu beberapa rumah dan melepaskan tembakan hingga mengorbankan 17 orang termasuk wanita dan kanak-kanak, sebelum membakar mayat mereka.
Dia ditahan sejurus melakukan pembunuhan selepas dipercayai menyerah diri. Tentera Amerika memindahkan Bales ke sebuah pangkalannya di Kuwait sebelum diterbangkan kembali ke Amerika. Dia kini ditahan di penjara tentera Fort Leavenworth di sini.
Bales tidak mengaku salah dengan atas dakwaan itu, manakala peguamnya John Henry Browne, berkata anak guamnya tidak ingat kejadian itu. 

Pegawai Amerika memberi jaminan untuk melakukan siasatan segera dan terperinci . 
Setiausaha Pertahanan Amerika, Leon Panetta, berkata Bales boleh dikenakan hukuman mati jika didapati sabit kesalahan.

Penganalisis undang-undang, David Rivkin berkata pihak pendakwa akan mendesak hukuman maksimum ke atas Bales. 
“Kes ini mempunyai kesan besar dari sudut strategi dan kesan politik. Hukuman mati adalah yang paling sesuai, walaupun saya ragu jika ia akan dilaksanakan. Saya berpendapat Bales mungkin dikenakan hukuman penjara antara 20 hingga 50 tahun,” katanya. 

Sementara itu, ketika ditemuramah dalam rancangan This Morning, stesen televisyen Sistem Penyiaran Columbia (CBS), Browne berkata, beliau menghabiskan masa kira-kira 11 jam bersama Bales minggu ini di Fort Leavenworth. 

Peguam berkenaan juga berkata Bales sebelum ini pernah mengalami gegaran otak serius dan ia tidak dirawat atas beberapa sebab, tetapi tidak memberi butiran lanjut mengenai perkara itu. 

Laporan menyatakan Bales yang pernah berkhidmat tiga kali di Iraq sebelum dihantar ke Afghanistan Disember lalu, mengalami kecederaan otak serius dalam kemalangan jalan raya. Namun pegawai tentera dan pakar berkata tiada bukti saintifik menunjukkan bahawa kecederaan otak boleh mendorong seseorang bertindak ganas. 

“Reaksi saya kepada dakwaan yang dikenakan ialah kerajaan perlu membuktikannya. Saya percaya kerajaan akan menghadapi kesukaran untuk membuktikan kes ke atas Bales. 

“Tiada lokasi jenayah, manakala bukti fizikal penting amat kurang. Saya boleh meneruskan kes ini berdasarkan ketiadaan bukti kukuh dan masalah jiwa yang dialami Bales,” kata Browne. 

Bagaimanapun seorang penduduk Afghanistan yang kehilangan cucu perempuan, adik dan sepupunya dalam serangan terbabit, Haji Noor Mohammad tidak berpuas hati dengan kenyataan Browne. 

“Jika dia benar-benar gila dan hilang ingatan, mengapa dia dilantik sebagai askar Amerika? Mengapa dia tidak dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan?” katanya. 

Sementara itu di Kabul, seorang pegawai kanan Amerika berkata pihak sudah memutuskan untuk membicarakan Bales di Amerika, tetapi keluarga mangsa yang marah dengan keputusan itu, mendesak perbicaraan diadakan di Afghanistan. – AP/AFP

No comments: