2012/03/24
SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Julia Gillard, enggan meminta maaf kepada keluarga seorang rakyatnya yang memegang dua kewarganegaraan, Mamdouh Ahmed Habib, kerana ditahan beberapa tahun di Teluk Guantanamo meskipun laporan rasmi menyatakan mereka tidak diberitahu keadaan sebenar yang dihadapi Habib. Habib ditahan di Pakistan beberapa minggu selepas kejadian serangan terhadap New York dan Pentagon pada 11 September 2001, kerana disyaki memiliki pengetahuan mengenainya.
Satu laporan bebas Ketua Polis semalam menyatakan, kerajaan gagal memaklumkan penahanan Habib kepada keluarganya meskipun tiada warga Australia terbabit atau bersubahat dalam layanan buruk sepanjang penahanannya.
“Komunikasi dari segi kebajikan Habib kepada keluarganya tidak mencukupi. Kegagalan memberitahu perkembangan dirinya mulai Mei 2002 hingga November 2003 kepada isteri Habib paling utama,” kata laporan itu yang mencadangkan kerajaan memohon maaf.
Laporan itu juga secara tidak langsung membidas Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan kerana memberitahu isteri Habib bahawa suaminya ‘sihat dan dilayan dengan baik’ pada Februari 2002 ketika ditahan di Mesir, meskipun itu bukan perkara sebenar.
Bagaimanapun, Gillard berkata, tidak perlu meminta maaf dalam hal berkenaan.
“Kami puas hati bahawa agensi dan pegawai kerajaan Australia menjalankan tugas dengan baik dalam suasana sukar selepas kejadian 11 September 2001.
“Kami juga mahu menyatakan bahawa wujud masalah besar dari segi akses kepada tahanan termasuk Habib di Guantanamo,” katanya lagi.
Pun begitu, Gillard bersetuju dengan perkara lain dalam laporan itu yang dibuat selepas Habib menyelesaikan kes terhadap kerajaan Australia mengenai layanan ke atasnya ketika ditahan, apabila menerima pampasan pada 2010.
Dasar baru mengawasi keupayaan individu berkomunikasi dengan pegawai atau wakil sah kerajaan Australia dan memberi garis panduan mengelak daripada risiko layanan tidak berperikemanusiaan akan diperkenalkan, katanya. – AFP
No comments:
Post a Comment