NEW YORK: Bekas Presiden Cuba, Fidel Castro berkata, Amerika Syarikat melakukan kesilapan paling buruk dalam sejarahnya jika ia meneruskan rancangan untuk melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran.
Dalam rencana berjudul ‘Jalan Menuju Bencana,’ yang disiarkan oleh akhbar Granma semalam, Castro berkata, beliau yakin Washington bertindak paling bodoh dalam sejarah Amerika Syarikat jika ia mengambil langkah itu dalam usaha memusnahkan kemudahan nuklear Iran semata-mata kerana mahu melindungi Israel.
“Rejim Zionis secara terbuka berkata ia merancang menyerang Iran dan Amerika Syarikat menghabiskan beratus juta dolar untuk membuat bom bagi membantu rancangan berkenaan.
“Saya bimbang dan sedikitpun tidak ragu bahawa Amerika akan melakukan kesalahan paling bodoh dalam sejarah negara itu,” kata Castro.
Bekas pemimpin Cuba yang berusia 85 tahun itu juga berkata, Washington sepatutnya berfikir dua kali sebelum menyerang Iran.
“Iran memiliki pasukan bersenjata yang terkenal kerana pegangan pada prinsip agama dan tradisi dan mereka sudah sekian lama bersiap sedia untuk berperang.
“Sudah pasti disiplin mereka mampu melumpuhkan hasrat Amerika Syarikat dan Israel,” katanya.
Menerusi artikel berkenaan, Castro yang nama sebenarnya Fidel Alejandro Castro Ruz juga mempertahankan program nuklear Iran dan menegaskan keyakinannya bahawa Iran tidak memiliki atau merancang untuk memiliki senjata nuklear seperti yang didakwa oleh Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya.
Castro turut mengecam dasar bermuka-muka Amerika dan Barat kerana menghalang negara lain menggunakan sepenuhnya teknologi nuklear tetapi pada masa sama, berdiam diri serta membantu Israel menghhasilkan senjata atom. - Agensi
No comments:
Post a Comment