Pages

Tuesday, March 13, 2012

Israel terus bedil Genting Gaza

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Sebuah bangunan dekat khemah pelarian Palestin di Jabalia, utara Gaza runtuh dalam serangan udara Israel, semalam. - AFP


GAZA CITY, Wilayah Palestin 12 Mac - Sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin maut dalam serangan udara tentera Zionis di Gaza yang masuk hari ketiga hari ini, selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar tidak akan berhenti mengambil tindakan kekerasan berikutan serangan didakwa dilakukan oleh pejuang Pelastin di wilayah Israel.
Ahli perubatan Palestin melaporkan Israel melancarkan enam serangan udara ke atas Gaza awal hari ini mengakibatkan 35 orang cedera.
Israel turut melancarkan dua serangan ke atas bandar Khan Yunis pada kira-kira pukul 1 petang waktu Malaysia menyebabkan dua orang maut dan dua orang lagi cedera.
Dengan serangan hari ini, jumlah penduduk Palestin yang maut di Gaza dalam serangan udara Israel selama tiga hari berturut-turut itu meningkat kepada 23 orang.
Ahli perubatan mengenal pasti mangsa terbaru yang terbunuh sebagai Suleiman Abu Mutlaq, 24, yang terkorban di timur Khan Yunis dan Raafat Jawad Abu Eid, 24, di selatan bandar itu.
Tiada maklumat menyatakan sama ada mereka merupakan anggota pejuang Palestin atau orang awam.
Terdahulu, tentera Israel mengesahkan telah melancarkan enam serangan udara yang menjadikan kemudahan simpanan senjata dan empat kawasan pelancar roket di utara Genting Gaza sebagai sasaran.
Netanyahu, semalam memberi amaran operasi ketenteraan akan diteruskan selagi diperlukan.
Jihad Islam yang mendakwa bertanggungjawab ke atas kebanyakan serangan ke atas wilayah Israel sejak tiga hari lalu, turut berikrar akan terus melancarkan serangan tanpa mengira kesan dan akibatnya. - AFP

'via Blog this'

No comments: