Pages

Tuesday, March 13, 2012

Pusat tuisyen ‘hidup’ kerana guru tidak berkualiti?

Pusat tuisyen ‘hidup’ kerana guru tidak berkualiti? - Semasa - Sinar Harian:SHAH ALAM – Cuba luangkan masa melihat barisan kedai berhampiran tempat tinggal anda.

Kedai runcit, kedai gambar, pusat tuisyen, kedai fotostat, restoran, dan... pusat tuisyen lagi?

Cuba bertanya pula kepada orang sekeliling yang mempunyai anak bersekolah, adakah anak mereka ke tuisyen?

Pasti sembilan daripada 10 orang akan menjawab ya.

Mengapa fenomena ini berlaku?

Adakah kerana sistem pembelajaran di sekolah tidak berkesan, sehingga ibu bapa perlu menghabiskan ratusan ringgit bagi seorang anak untuk menghadiri kelas tambahan?

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (Page), Datin Noor Azimah Abdul Rahim bersetuju dengan pendapat ini.

“Pembelajaran diterima di sekolah tidak mencukupi, jadi ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak ke tuisyen,” katanya.

Penulis bertanya lagi, adakah guru kita tidak berkualiti?

“Kita tidak boleh menyalahkan guru kerana latihan diberikan menentukan kebolehan mereka untuk mengajar.

“Guru patut memberi yang terbaik semasa me­ngajar, tetapi kini, kualiti guru menurun, mungkin kerana latihan diberikan tidak mencukupi,” katanya semasa pertemuan dengan Sinar Harian berhubung isu lambakan pusat tuisyen di negara ini.

Menurutnya, selain memperbaiki latihan guru, kerajaan juga perlu mengurangkan jumlah pelajar di dalam sebuah kelas dan menambah perbelanjaan pendidikan.

Noor Azimah berkata, lebih memburukkan keadaan adalah sikap menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan ter­akhir jika tidak mendapat kerja lain.

“Ibu bapa yang menyedari hal ini enggan mengambil risiko dan memperjudikan pendidikan anak mereka, sebab itu mereka menghantar anak ke kelas tuisyen,” katanya.

Penulis kemudian menyoal lagi, apa punca guru di sekolah tidak dapat menyampaikan pelajaran dengan baik?

“Memang sukar untuk cikgu memberi perhatian kepada setiap murid kerana kelas yang besar, selain masa pembelajaran singkat, jadi mereka terpaksa mencadangkan supaya pelajar ke pusat tuisyen,” jawabnya.

Menurutnya, lambakan pusat tuisyen ini juga berlaku kerana kemahuan pelajar sendiri yang tidak berpeluang berinteraksi secara dekat de­ngan guru di dalam kelas.

Selain itu, kos pengajian yang tinggi di peringkat universiti juga menyumbang kepada kewujudan banyak pusat tuisyen.

“Ramai ibu bapa berharap anak mereka mendapat biasiswa untuk ke universiti, sama ada di dalam atau luar negara jadi tuisyen menjadi seperti pelaburan jangka panjang,” katanya.

Namun, Noor Azimah mengakui, fenomena tuisyen ini ada baik dan buruknya.

“Di pusat tuisyen, anak-anak disuap dengan pelbagai maklumat. Ini menyebabkan mereka tidak tahu mencari maklumat dan hanya bergantung kepada orang lain. Selain itu, kita juga tidak tahu kualiti sesebuah pusat tui­syen,” katanya.

Beliau juga berpendapat peranan kelas tuisyen telah dicabuli, sehingga pelajar kini mengambil semua subjek, berbanding dahulu, iaitu pelajar hanya mengambil kelas tambahan untuk subjek yang mereka lemah sahaja.

Menyuarakan harapan­nya untuk sistem pendidikan negara, Noor Azimah berkata, ibu bapa mahukan perancangan masa panjang yang mapan dan berkesan.

“Antara masalah utama dalam sistem pendidikan adalah perubahan dasar setiap kali berlaku perubahan tampuk pimpinan. Apabila menteri lain dilantik, dasar sebelum ini dilupakan dan akhirnya, anak-anak menjadi mangsa,” katanya.
'via Blog this'

2 comments:

Anonymous said...

Adakah masalah ini hanya disebabkan kesalahan guru dan pihak sekolah. Ikut pendapat saya kita tidak boleh hendak menyalahkan pihak sekolah dan guru semata-mata. Jika dilihat masalah ini berpunca dari sikap ibu bapa sendiri yang ingin melihat anak mereka lebih berjaya dari anak jiran-jiran, anak saudara mara mahupun anak kawan-kawan setempat kerja. Disebabkan tidak mahu kalah, lantas memaksa untuk anak belajar lebih. Ibu bapa sepatutnya membantu anak belajar dirumah, tetapi ada segelintir ibubapa yang hanya mahu melepaskan tanggungjawab tersebut kepada pihak lain (iaitu pusat tuisyen. Memandangkan duit tidak menjadi masalah pada mereka. Punca kedua adalah disebabkan pembukaan pusat-pusat tuisyen serta promosi yang giat dijalankan oleh pusat tuisyen tersebut menarik minta ibubapa untuk menghantar anaknya ke situ. Mana hasil kajian yang boleh dijadikan panduan untuk mengatakan pusat tuisyen membantu meningkatkan prestasi pembelajaran anak-anak. Jika tidak ada jangalah kita asyik mempersalahkan pihak guru dan sekolah sahaja. Mungkin juga anak-anak mereka tidak menumpukan perhatian semasa dalam kelas.

-Pemerhati

new hope said...

Salam,

Kualiti guru harus diperbaiki

KLIK:PUSAT TUSYEN HIDUP KERANA GURU AKADEMIK HANCUR