KESESAKAN di Jalan Tun Sambathan berikutan pemandu keliru pelaksanaan lorong bas dan teksi.
BRICKFIELDS: Pengenalan lorong khas untuk bas dan teksi di sepanjang Jalan Tun Sambanthan, Little India, Brickfields sejak Sabtu lalu, mengakibatkan kekecohan dan kesesakan berikutan kebanyakan pengguna masih keliru dengan perubahan dilakukan, selain kekurangan papan tanda.
Orang ramai masih keliru dengan pengenalan lorong khas untuk bas dan teksi di sepanjang jalan itu menyebabkan banyak kenderaan persendirian memasuki lorong berkenaan secara tidak sengaja.Walaupun alasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pelaksanaan lorong khas untuk bas dan teksi itu bertujuan mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan, lima kemalangan membabitkan bas dan pejalan kaki dilaporkan dalam tempoh 48 selepas dilaksanakan, termasuk dua yang cedera parah.
Tinjauan Sentral semalam mendapati pengguna dari arah pusat bandar memasuki lorong bas untuk menuju ke Seputeh kerana tidak banyak papan tanda pemberitahuan lorong bas dan teksi, malah papan tanda yang ada pula sukar dilihat kerana terlindung oleh dahan pokok.
Keadaan lalu lintas agak terkawal semalam selepas DBKL meletakkan penghadang jalan di sepanjang lorong bas dan teksi selain menempatkan pegawai penguat kuasa bagi mengawal lalu lintas di simpang jalan menghala ke pusat bandar.
Orang ramai yang keliru dengan lorong khas itu bagaimanapun menyambut baik pelaksanaannya tetapi mahukan penambahbaikan terutama dari sudut penguatkuasaan dalam memastikan keselamatan mereka sebagai pengguna, selain mahu tempat meletak kereta dan laluan pejalan kaki ditambah di sekitar kawasan itu.
Peniaga di Little India, R Nathan, berkata kehadiran pegawai penguat kuasa DBKL atau polis trafik yang mengawal lalu lintas terutama di persimpangan jalan penting dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan atau kesesakan.
“DBKL ada bagi notis kepada semua peniaga mengenai pelaksanaan sistem lalu lintas yang baru ini tetapi bagaimana dengan pengunjung lain? Buat permulaan memang orang ramai tidak sedar dengan perubahan yang dilakukan, tetapi saya yakin mereka dapat menyesuaikan diri.
“Pada hari pertama dan kedua sistem baru ini dilaksanakan saya cuti dan apabila kembali bekerja pagi tadi (semalam), saya agak keliru dan kelam kabut kerana terpaksa membuat satu pusingan untuk ke kedai saya.
“Saya bimbang pada petang kesesakan menjadi teruk sehingga bas dan teksi tidak dapat bergerak apabila banyak kereta dari arah Jalan Sultan Abdul Samad masuk ke arah pusat bandar dengan melintasi lorong bas,” katanya.
No comments:
Post a Comment