Pages

Tuesday, December 6, 2011

Vietnam diancam bahan letupan


HANOI 5 Dis. - Lebih 100,000 rakyat Vietnam terbunuh atau cedera dalam letupan periuk api atau bom jenis lain sejak Perang Vietnam berakhir hampir 40 tahun lalu, dan tempoh berdekad-dekad lagi diperlukan bagi membersihkan seluruh negara ini daripada ancaman tersebut.

"Peninggalan perang yang termasuk ratusan ribu tan bom dan bahan letupan lain terus menyebabkan kemalangan jiwa setiap hari," kata Perdana Menteri, Nguyen Tan Dung hari ini pada persidangan tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mencari jalan untuk menangani masalah tersebut.

Dung berkata, 42,132 orang terbunuh dan 62,163 lagi cedera akibat letupan periuk api, bom dan bahan letupan lain sejak perang tamat pada 1975.

Amerika Syarikat (AS) menggunakan kira-kira 16 juta tan bom dan peluru untuk membantu sekutunya, bekas kerajaan Vietnam Selatan memerangi pejuang komunis Vietnam Utara yang akhirnya memenangi perang itu dan menyatukan semula negara ini.

Kata Duta AS ke Vietnam, David Shear pada persidangan itu, Washington menyediakan peruntukan AS$62 juta (RM186 juta) untuk membantu Vietnam menangani 'peninggalan perang yang membawa penderitaan itu'.

"Usaha kami untuk membantu Vietnam mengatasi masalah sukar ini telah memupuk sikap saling mempercayai dan persefahaman antara AS dan Vietnam sehingga membolehkan hubungan dua hala antara kita berkembang maju," kata Shear.

Timbalan Menteri Vietnam bagi buruh, mangsa perang dan hal-ehwal masyarakat, Bui Hong Linh berkata, bahan letupan masih didapati di kira-kira 6.6 juta hektar tanah atau lebih satu per lima daripada keluasan negara ini.

Katanya, hanya 300,000 hektar atau lima peratus daripada kawasan dicemari bahan letupan sudah dibersihkan dan pelan yang diluluskan oleh kerajaan baru-baru ini memperuntukkan pembersihan 500,000 hektar lagi yang akan melibatkan kos AS$595 juta (RM1.79 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: