TERTIMBUS...anggota bomba dan JPAM berusaha mengeluarkan mayat mangsa. Gambar kecil, Amir, maut.
JELI: Seorang pekerja kontrak yang sedang mencangkul bagi meratakan tanah dalam lubang sedalam 1.5 meter bagi kerja penggantian paip lama, di Kilometer 81, Kampung Air Puteh, Lakota, dekat sini, terbunuh akibat tertimbus tebing lubang berkenaan yang runtuh, pagi semalam.
Kejadian jam 10.50 pagi itu berlaku ketika remaja berkenaan, Mohamad Amir Mohd Azmi, 14, bersama empat pekerja lain melakukan kerja penggantian paip lama apabila tebing lubang yang dikorek menggunakan jengkaut sebelum itu, runtuh.
Kemalangan menyebabkan mangsa yang tidak bersekolah parah di kepala dan patah tulang rusuk kanannya sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut saksi, Mohd Shukri Mohd Rashid, 19, tanah di sebelah kanan Mohamad Amir runtuh tiba-tiba dan menimbus seluruh tubuhnya.
Mohd Shukri yang juga sepupu mangsa berkata, dia serta rakan lain tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku pantas dan ketika ketika itu, dia berada dua meter dari Mohamad Amir.
No comments:
Post a Comment