Pages

Tuesday, December 6, 2011

Pasar raya perdaya pengguna

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


LONDON 5 Dis. - Beberapa pasar raya besar boleh didakwa kerana dituduh memperdaya pembeli dengan maklumat yang mengelirukan dan tidak benar.

Kajian ke atas empat pasar raya besar iaitu Tesco, Asda, Sainsbury's dan Morrisons mendapati mereka sedang terlibat dengan perang harga, namun semua pasar raya itu menafikan perkara tersebut.

Ketika mereka mendakwa menawarkan harga rendah, keuntungan yang diperoleh sebaliknya meningkat dan perniagaan mereka semakin berkembang.

Kajian oleh kumpulan pengguna, Which? dan BBC mendedahkan beberapa muslihat yang digunakan oleh pasar raya untuk mengaburi mata pembeli.

Satu tinjauan mendapati 17 barangan yang dijual di bawah slogan 'beli banyak lebih bernilai' sebenarnya adalah lebih mahal berbanding membeli barangan sama dengan kuantiti kecil.

Sebagai contohnya, Tesco menjual 1.5 kilogram bahan pencuci Vanish Oxi Action Stain Remover di bawah slogan itu pada harga 12 pound (RM59), tetapi sebenarnya ia tiga kali lebih mahal berbanding membeli produk sama untuk bungkusan seberat 500 gram.

Terdapat juga banyak produk yang dilihat menawarkan promosi khas dengan iklan poster tetapi sebenarnya tidak memberikan penjimatan.

Disember lalu, Pejabat Perniagaan Harga Patut memberi amaran kepada peruncit supaya menghentikan amalan tersebut atau bakal berdepan dengan tindakan mahkamah.

Namun, program BBC, Panorama yang diacarakan Sophie Raworth membuktikan ia masih berlaku.

"Amalan ini bukanlah sesuatu yang tidak disengajakan dan ia terbukti berlaku di kebanyakan pasar raya, sekali gus berpotensi untuk didakwa," kata pakar undang-undang pengguna, Deborah Parry.

September lalu, Tesco mengumumkan 'Promosi Potongan Harga Besar-besaran' yang menjanjikan penjimatan sehingga 500 juta pound (RM2.4 bilion) setahun.

Asda pula mendakwa menawarkan potongan harga ke atas 3,000 barangan perlu.

Ia bagaimanapun hanya tawaran palsu kerana harga barangan terlibat sebenarnya lebih tinggi beberapa minggu sebelum tawaran penjimatan itu dilakukan. - AGENSI

No comments: