SEGAMAT 5 Dis. - Helah seorang pelajar mengadu sakit perut kepada keluarganya untuk mendapatkan rawatan di klinik terbongkar apabila dia sebenarnya baru melahirkan seorang bayi di rumahnya di Palong Timur 4 di sini pada 30 November lalu.
Pelajar berusia 15 tahun dan sedang menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tersebut dipercayai melahirkan seorang bayi perempuan pada pukul 11.30 pagi.
Menurut Ketua Polis Segamat, Supritendan Abdul Majid Mohd. Ali, pelajar itu kemudian mengadu sakit perut dan dihantar oleh keluarganya ke Klinik Palong Timur 4.
Katanya, pegawai perubatan yang menjalankan pemeriksaan mendapati pelajar itu baru melahirkan anak.
"Pegawai itu lalu mengarahkan jururawat menyiasat rumah pelajar tersebut dan menemui mayat seorang bayi perempuan di bawah katil. Kes itu dirujuk ke Hospital Kuala Pilah.
"Jururawat kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Anam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Segamat, di sini hari ini.
Jelas Abdul Majid, bayi berkenaan dipercayai masih hidup ketika dilahirkan.
Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk dibedah siasat dan pelajar tersebut pula ditahan di Hospital Kuala Pilah pada 2 Disember lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan boleh dikenakan hukuman maksimum dua tahun penjara jika sabit kesalahan.
Berikutan itu kata Abdul Majid, pihaknya mencari seorang buruh, Shairol Jahari@Merong, 24, dengan kad pengenalan bernombor 870731-01-5847 dan alamat terakhir di No. 44, Kampung Mensudut Lama, Buloh Kasap, di sini untuk membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment