by
syahirul.com
Hari itu selepas
seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway
PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah
Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di
pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia
lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.
"Abang
nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak
daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.
“Tak apalah
dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.
Dia berlalu.
Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian
saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri
agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.
"Abang
dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri
meja saya.
"Abang
baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil
menepuk-nepuk perut.
Dia beredar,
tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, di meletakkan bakulnya yang
masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang,
pak cik, kakak atau makcik?"
Molek budi
bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke
premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan
di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung
tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan
membeli kuihnya.
Selepas membayar
harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya
lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan
duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi
berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan
cermin, membalas senyumannya.
"Abang
dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu
atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi
dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.
Saya tenung
wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya
buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.
"Ambil
ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Saya berkata
ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima
wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki
lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya
hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu
menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta
kedua-dua matanya.
Saya terkejut,
lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.
"Kenapa
bang nak beli kuih ke?" tanyanya.
"Kenapa
adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!"
Kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.
"Bang
saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis.
Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat
kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan
jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak
berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.
Saya sebak,
sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya
terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.
"Abang
nak beli semua ke?" Dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya
kelu nak berkata.
"RM25
saja bang."
Selepas dia
memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia
mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.
Saya perhatikan
dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru
saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati
mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi
atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat
menjadikan kerjayanya satu penghormatan.
Sesungguhnya
saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita
sebenarnya!
Email dari hamba
Allah :
No comments:
Post a Comment