Tuesday, December 20, 2011
Ejen CIA akui jalankan misi intip Iran
TEHERAN 19 Dis. - Televisyen kerajaan Iran semalam menyiarkan laporan menunjukkan seorang lelaki muda yang didakwa sebagai ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengakui 'misinya' untuk menyusup masuk ke dalam Kementerian Perisikan negara ini.
Laporan itu menyebut namanya sebagai Amir Mirzai Hekmati yang dikatakan warga Amerika Syarikat (AS) keturunan Iran yang dilahirkan di negeri Arizona, AS.
Menurut stesen itu, Hekmati menyertai Tentera AS pada 2001 dan menjalani latihan perisikan selama sedekad.
Hekmati dilaporkan dihantar oleh CIA ke Pangkalan Udara Bagram AS di Afghanistan dan didedahkan kepada maklumat sulit perisikan AS sebelum berlepas ke Teheran untuk cuba meyakinkan pihak Iran bahawa dia dan maklumat yang dibawanya berguna kepada mereka.
"Mereka merancang untuk memberi saya maklumat berfaedah, menyerahkannya kepada pihak Iran supaya Kementerian Perisikan menganggapnya bahan yang berguna dan menghubungi saya kemudian," kata lelaki berusia lewat 20-an itu.
Dalam siaran itu, Hekmati fasih bertutur dalam bahasa Farsi dan Inggeris dengan sedikit pelat Amerika.
Menurut stesen tersebut, rangkaian Iran yang memantau aktiviti di pangkalan Bagram mengesan kehadiran Hekmati dan membongkar operasinya.
Bagi misi itu, Hekmati diberitahu supaya 'menjadi sumber bagi Kementerian Perisikan Iran di Teheran selama tiga minggu dan menyalurkan maklumat kepadanya dengan mendapatkan bayaran dan kemudian kembali ke Bagram'.
"Saya bertugas di sebuah pusat pengintipan di Bagram dan menaiki beberapa penerbangan, termasuk dari Bagram ke Dubai sebelum datang ke Teheran," katanya.
Kementerian Perisikan Iran kelmarin mengumumkan penangkapan seorang 'ejen CIA berketurunan Iran' sebelum dia dapat memasuki kementerian itu untuk 'menyalurkan maklumat mengelirukan dan menjalankan pengintipan'. - AFP
-utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment