Keganasan berterusan di Mesir

KAHERAH - Sekurang-kurangnya 10 terkorban manakala lebih 400 cedera dalam pertempuran pada hari keempat antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir di Mesir, menurut Kementerian Kesihatan, semalam.

Insiden pertempuran itu tercetus selepas anggota tentera merempuh sekatan di sekitar dataran tersebut bagi menghalang kemaraan kumpulan penunjuk perasaan yang melakukan protes secara aman di luar pejabat kerajaan berhampiran Parlimen, pada Jumaat lalu.

Demonstrasi yang turut disertai golongan wanita dan kanak-kanak itu turut membaling batu ke arah pasukan polis dan tentera selepas mereka mula menggunakan kekerasan dan melepaskan tembakan secara rambang.

Pasukan keselamatan didakwa telah melakukan tindakan keganasan secara berterusan sejak bulan lalu terhadap penunjuk perasaan yang berang selepas pemerintah tentera dilihat enggan melepaskan kuasa.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon turut mengutuk keganasan yang dilakukan pasukan keselamatan Mesir dan menggesa pihak berkuasa peralihan untuk mengambil tindakan tegas kerana ia telah melanggar hak asasi manusia.

Sementara itu, keputusan tidak rasmi pilihan raya fasa kedua yang diadakan minggu lalu turut menyaksikan Parti Islam pimpinan Ikhwanul Muslimin terus mempertahankan undi majoriti walaupun negara tersebut dilanda konflik meruncing pada pertengahan bulan lalu.