Hitler cadang cipta Volkswagen selepas perang

Kereta Volkswagen atau lebih dikenali sebagai Beetle atau Bug, adalah model kereta ekonomi yang dihasilkan oleh pengeluar kereta dari Jerman.

Bermula 1931, Ferdinand Porsche dan ZUndapp mencipta sebuah kereta untuk semua orang yang disebut sebagai Auto für Jedermann dalam bahasa Jerman.

Dalam usaha penciptaan kenderaan itu, Porsche lebih gemar menggunakan enjin 4 silinder rata sejukan udara, tetapi ZUndapp menggunakan enjin jejari 5 silinder sejukan cecair. Pada 1932, tiga prototaip berhubung kenderaan model ekonomi itu telah berjaya diuji.

Bagaimanapun, kesemua kereta tersebut telah hilang semasa peperangan dan yang terakhir telah hilang pada 1945 di Stuttgart sewaktu berlaku serangan bom.

Pada 1933, Adolf Hitler menghantar lakaran kepada Ferdinand Porsche bagi cadangan model ‘Kereta Rakyat’ atau ‘Volks-Wagen’ dalam bahasa Jerman. Ia adalah sebuah kereta asas yang mampu mengangkut dua penumpang dewasa dan tiga kanak-kanak pada kelajuan 100 km/j (62bsj).

Kereta Rakyat tersebut boleh didapati oleh rakyat Jerman Nazi melalui skim simpanan, dengan harga serendah 990 mark iaitu hampir sama dengan harga sebuah motosikal kecil pada zaman tersebut, dengan pendapatan purata sekitar DM32 seminggu.

Pada Ogos 1967, gelaran Beetle digunakan untuk pasaran Amerika Syarikat. Bagaimanapun, untuk pasaran Britain, Volkswagen tidak pernah menggunakan gelaran Beetle secara rasmi, namun mengenalinya sebagai Type I ataupun 1200, 1300 atau 1500.

Nombor 1200, 1300 dan 1500 yang digunakan itu merujuk kepada saiz enjin dalam sentimeter padu.

Pada 1998, Volkswagen memperkenalkan model New Beetle yang dibina berasas platform Volkswagen Golf, ia menampilkan keserupaan kosmetik kepada rupa bentuk asal.

Model baru tersebut diperkenalkan selepas model asal sudah lama dihentikan pengeluarannya bagi sebahagian besar pasaran dunia. Bagaimanapun, ia masih dikeluarkan di Mexico sehingga 2003.