SEMPADAN IRAQ-KUWAIT, Kuwait - Pasukan terakhir tentera Amerika Syarikat (AS) meninggalkan Iraq dan memasuki Kuwait semalam, hampir sembilan tahun selepas AS melancarkan perang bagi menyingkirkan Presiden Iraq, Saddam Hussein.
Pasukan terdiri daripada 110 buah kenderaan membawa 500 askar AS yang kebanyakannya anggota Briged Ke-3, Divisyen Pertama Kavalri itu melintasi sempadan Iraq pada pukul 7.38 pagi waktu tempatan.
Pengunduran tersebut menutup sejarah penaklukan Iraq oleh AS. Sebelum ini terdapat 170,000 askar negara polis dunia itu yang ditempatkan di 505 buah pangkalan tentera di seluruh Iraq.
Penaklukan hampir sembilan tahun AS ke atas Iraq menyebabkan puluhan ribu penduduk tempatan dan hampir 4,500 askar AS terbunuh dengan ramai lagi yang cedera manakala 1.75 juta penduduk Iraq terpaksa menjadi pelarian.
Washington turut membelanjakan AS$800 bilion (RM2.5 trilion) untuk membiayai kempen ketenteraannya di Iraq.
"Saya berasa seronok, sungguh seronok kerana dapat keluar dari Iraq," kata Sarjan Duane Austin selepas keluar dari kenderaan tentera yang membawanya ke Kuwait
"Tahun ini terasa amat panjang buat saya, kini tiba masanya untuk pulang," tambahnya.
Kumpulan kenderaan terakhir yang membawa tentera AS meninggalkan Pangkalan Imam Ali di pinggir bandar Nasiriyah pada pukul 2.30 pagi waktu tempatan untuk memulakan perjalanan sejauh 350 kilometer ke sempadan Kuwait yang memakan masa lima jam.
Kumpulan tersebut bergerak melalui beberapa laluan terpencil bagi memastikan mereka tidak menjadi sasaran serangan hendap.
"Saya berasa bangga seluruh rakyat Iraq perlu berasa bangga kerana negara kami sudah bebas," kata seorang pembuat roti berusia 26 tahun, Safa.
"Askar-askar AS menggulingkan Saddam tetapi hidup kami sengsara sejak dari itu," ujarnya.
Penaklukan Iraq bermula dengan kempen ketenteraan bagi menumbangkan rejim Saddam pada 2003. Ketika itu, Washington percaya mereka dapat menamatkan misi ketenteraan mereka di Iraq dalam tempoh cuma beberapa bulan.
AS yang diperintah Presiden George W. Bush menggunakan alasan Iraq menyimpan senjata pemusnah dan senjata kimia untuk menggulingkan Saddam.
Menjelang subuh pada 20 Mac, 2003 satu serangan udara besar-besaran disasarkan ke atas selatan Baghdad yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian Saddam.
Serangan itu disusuli pencerobohan tentera darat AS yang memasuki selatan Iraq melalui Kuwait. Ketumbukan tentera AS bergerak menuju ke ibu kota Iraq, Baghdad. Saddam dan rejimnya tumpas dalam masa beberapa minggu. Pemimpin Iraq itu ditangkap pada hujung tahun yang sama sebelum digantung pada 2006 oleh pentadbiran baharu Iraq.
Namun, kematian Saddam gagal mengamankan Iraq. Malah, ia membuka pintu kepada konflik berdarah yang berlanjutan selama beberapa tahun antara komuniti Sunnah dan Syiah.
Menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan Britain, Iraq Body Count, konflik berdarah antara dua komuniti itu menyebabkan lebih 100,000 penduduk Iraq terbunuh.
Pertumpahan darah tersebut cuma reda apabila Presiden Bush mengarahkan penambahan askar AS ke Iraq di samping persetujuan militia-militia Sunnah untuk memihak kepada AS dalam memerangi rangkaian pengganas Al-Qaeda.
Pada 2008, Baghdad dan Washington menandatangani satu perjanjian untuk mengundurkan semua askar AS dari bumi Iraq menjelang akhir tahun ini.
Pada masa sekarang, cuma 157 askar AS masih kekal di Iraq bagi membantu melatih pasukan keselamatan negara itu.
Iraq kini memiliki pasukan keselamatan dengan kekuatan 900,000 anggota. Ramai penganalisis percaya bilangan tersebut mencukupi untuk pemerintah mengekalkan ketenteraman awam dan mempertahankan perbatasan negara daripada pencerobohan asing. - Agensi
No comments:
Post a Comment