Pages

Monday, December 19, 2011

650 maut, lebih 900 lagi hilang

CAGAYAN DE ORE (Filipina): Pasukan penyelamat melakukan operasi mencari lebih 900 mangsa yang masih hilang di selatan negara ini, semalam selepas banjir kilat dan tanah runtuh menghanyutkan kediaman ke dalam sungai dan laut, membunuh lebih 650 orang di kawasan yang dilanda taufan pemusnah.

Cagayan de Oro dan bandar raya berhampiran Iligan di Mindanao paling teruk terjejas akibat dilanda taufan Wasi ketika penduduk sedang tidur pada awal pagi Sabtu lalu menyebabkan arus deras dan lumpur melanda kawasan desa dan meruntuhkan tebing pergunungan.


Persatuan Palang Merah Kebangsaan Filipina (PNRC) menganggarkan 650 orang terbunuh di lapan wilayah di Mindanao dengan lebih 900 lagi masih hilang. “Pejabat kami dihujani ratusan permintaan supaya membantu mencari ibu paba, anak dan saudara yang hilang,” kata Setiausaha Agung PNRC, Gwendolyn Pang kepada wartawan.

“Kami membantu menguruskan operasi mencari bersama pihak berkuasa tempatan, tentera, polis dan agensi yang lain,” katanya.


Banjir menghanyutkan seluruh rumah bersama penghuni di dalamnya di puluhan desa di tepi pantai di Cagayan de Oro dan Iligan.


“Ini kali pertama insiden seumpamanya berlaku di bandar raya kami,” kata Datuk Bandar Cagayan de Oro, Vicente Emano dalam wawancara radio. Beliau berkata, pihak berkuasa di kawasan itu tidak menerima amaran mencukupi sebelum taufan melanda. Laporan terkini oleh agensi bencana negara berkata, 650 orang terbunuh dan 900 lagi hilang. Ia berkata, amaran sudah diberikan kepada pihak berkuasa dan penduduk tiga hari sebelum taufan melanda pada Jumaat lalu.

Pihak berkuasa kesihatan dan bencana berhempas-pulas untuk menangani sejumlah besar mayat yang ditemui. Sesetengahnya diletakkan bertindihan antara satu sama lain di rumah mayat tempatan.


“Saya lihat sendiri mayat wanita dan kanak-kanak yang kembung, tidak kurang daripada 100,” kata Naib Presiden Jejomar Binay kepada radio Filipina ketika melawat kawasan paling teruk terjejas di Cagayan de Oro.

Binay mengagihkan bungkusan makanan dan mengarahkan keluarga yang tinggal berdekatan saliran air supaya berpindah.


Ketua pasukan tentera Brigadier Jeneral Roland Amarille berkata, tentera dikerah supaya mencari mayat dan membuat keranda. Pekerja rumah mayat juga tidak mampu untuk menangani kebanjiran mayat di situ.


“Kami memerlukan beg mayat dan kapur barus untuk menguruskan terlalu banyak mayat,” kata Amarille yang bimbang tercetusnya wabak penyakit. “Rumah mayat tempatan tidak lagi menerima mayat dan mereka meminta orang ramai mengebumikan mayat segera kerana terlalu banyak mayat, malah hingga memenuhi tempat lalu lalang,” katanya.


Kebanyakan mangsa yang terkorban menetap di kawasan setinggan di pulau yang dipisahkan oleh dua sungai di Iligan.


Kira-kira 70 peratus kediaman di pulau itu dihanyutkan ke laut” katanya. - Reuters

myMetro | 650 maut, lebih 900 lagi hilang:

No comments: