Pages

Monday, December 19, 2011

Rusuhan merebak di Kazakhstan



PASUKAN polis Kazakhstan memeriksa kawasan kekacauan di Zhanaozen yang menyaksikan 11 terbunuh dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan, dalam imej video kelmarin. – REUTERS


ASTANA 18 Dis. – Keganasan di wilayah Mangistau yang kaya dengan minyak di Kazakhstan mula merebak apabila perusuh menyekat laluan sebuah kereta api penumpang dan mengganas di sebuah kampung sebelum polis melepaskan tembakan, menyebabkan seorang terbunuh.

Sekumpulan penduduk di Shetpe, sebuah stesen kereta api kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah, Aktau di tepi Laut Caspian, menghalang sebuah kereta api yang membawa 300 penumpang dan ‘meminta mereka menyokong rusuhan besar-besaran’, kata pendakwa raya Kazakhstan dalam satu kenyataan.

Kira-kira 50 orang mengingkari polis, membakar kereta api tersebut dan kemudian mengganas di sebuah kampung yang terletak dekat stesen itu.

“Seorang terbunuh dan 12 lagi cedera apabila polis terpaksa melepaskan tembakan,” menurut kenyataan itu.

Rusuhan di wilayah yang kaya dengan sumber asli itu bermula di Zhanaozen kelmarin apabila sekumpulan orang berpakaian uniform pekerja minyak menumbangkan sebatang pokok Krismas dan merosakkan peralatan sistem suara yang ditempatkan di dataran utama menjelang sambutan Hari Kemerdekaan.

Angka kematian rasmi akibat rusuhan meningkat kepada 12 orang pagi ini manakala hampir 100 lagi cedera.

Kekacauan meningkat sekalipun perintah darurat selama 20 hari diisytiharkan di Zhanaozen semalam oleh Presiden Nursultan Nazarbayev, yang menyifatkan perusuh sebagai ‘samseng’ yang diupah untuk menggugat kestabilan wilayah itu dan menyerang penduduk.

Bagaimanapun pembangkang sosialis dalam kenyataan di laman web mereka menyelar polis kerana melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan tidak bersenjata dan memarakkan lagi konflik antara pekerja minyak dengan syarikat minyak Kazmunaigaz.

Pekerja di Zhanaozen dan bandar lain di wilayah Mangistau melancarkan mogok sejak beberapa bulan lalu bagi menuntut kenaikan gaji.

Hubungan Zhanaozen dengan dunia luar terputus kerana perkhidmatan telefon digantung, peralatan radio diharamkan, dan jalan utama disekat oleh pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan identiti.

– AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

No comments: