TENTERA AS gembira meninggalkan Iraq pulang ke tanah air selepas masuk ke sempadan Kuwait, semalam.
SEMPADAN KUWAIT: Kumpulan terakhir tentera Amerika Syarikat keluar dari Iraq dan memasuki Kuwait semalam menandakan berakhirnya penjajahannya di negara Teluk itu hampir sembilan tahun atas alasan Presiden Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah besar (WMD) selain membantu pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, sesuatu yang kemudian terbukti tidak benar.
Sebanyak 110 kenderaan membawa 500 askar Amerika daripada Briged ke-3, Divisyen Berkuda Pertama melintasi sempadan pada 7.38 pagi waktu tempatan, meninggalkan hampir 200 askar yang mengawal kedutaannya di Baghdad.Pada satu masa, 170,000 askar Amerika berada di 505 markas tentera di seluruh Iraq. Pengunduran kumpulan terakhir itu menamatkan perang yang mengorbankan beratus-ratus ribu penduduknya selain hampir 4,500 askar Amerika selain menyebabkan 1.75 juta lagi kehilangan tempat tinggal.
“Saya berasa bagus sekali keluar dari Iraq. Perang agak lama, tiba masa untuk pulang sekarang,” kata Sarjan Duane Austin.
Seorang ibu empat anak, Umm Mohammed, bagaimanapun, berkata: “Kami tidak dapat maafkan sama sekali Amerika atas apa yang mereka lakukan ke atas kami.”
Baghdad yang kini dikuasai pemimpin Syiah dan Washington menandatangani perjanjian pada 2008 bahawa pengunduran tentera akan tamat tahun ini. Tahun lalu, Amerika mengisytiharkan tamatnya operasi ketenteraan, tetapi mengekalkan 50,000 askarnya di Iraq.
Selain itu, Kedutaan Amerika juga mempunyai 157 askar yang akan ditugaskan melatih tentera Iraq manakala sekumpulan Marin bagi melindungi misi diplomatik itu.
Pengunduran fasa terakhir itu berlaku ketika Iraq terus dilanda kebuntuan politik selepas blok parti Sunnah memutuskan untuk memulaukan Parlimen menyebabkan Perdana Menteri, Nuri al-Maliki bertindak menyingkirkan seorang timbalannya yang juga daripada puak Sunnah. – AFP
No comments:
Post a Comment