Pages

Monday, December 19, 2011

Lebih 200 hilang dalam tragedi kapal karam di Indonesia



BEBERAPA pencari suaka politik diiringi anggota-anggota polis berpakaian awam selepas mereka keluar dari sebuah hospital di pusat penempatan sementara di Trenggalek semalam.


JAKARTA, Indonesia - Beberapa pasukan penyelamat terpaksa mengharungi ombak besar semalam dalam operasi mengesan 200 pencari suaka politik yang hilang dan dikhuatiri mati selepas kapal kayu yang mereka naiki tenggelam di perairan Pulau Jawa.

Setakat ini, cuma 33 orang termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita berjaya dinaikkan dari laut dalam keadaan masih hidup.

Pegawai maritim yang mengetuai operasi menyelamat, Leftenan Alwi Mudzakir berkata, beberapa mangsa terselamat memberitahu pihak berkuasa mereka dalam perjalanan ke Australia semasa nahas berlaku.

Menurut Alwi, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada muatan berlebihan. Katanya, kapal berkenaan membawa lebih dua kali ganda muatan sepatutnya. Semasa kejadian ia membawa 250 lelaki, wanita dan kanak-kanak dari Afghanistan, Iraq, Iran dan Turki.

Para penumpang mula panik apabila kapal berkenaan terumbang-ambing sekitar 32 kilometer dari kawasan pantai Jawa sebelum terbalik dipukul ombak setinggi lebih tiga meter kelmarin.

Tiga hari sebelum itu, kumpulan imigran terbabit melalui ibu negara Indonesia, di sini tanpa memiliki dokumen yang sah.

Menurut polis, satu kumpulan tidak dikenali membawa mereka menaiki empat buah bas menuju ke sebuah pelabuhan sebelum berjanji akan menghantar mereka ke Pulau Krismas, wilayah Australia di Lautan Hindi.

Seorang mangsa terselamat, Esmat Adine, 24, memberitahu agensi berita rasmi Antara bahawa kapal berkenaan sarat dengan penumpang.

"Muatan berlebihan menyebabkan kapal ini menjadi tidak stabil dan akhirnya tenggelam," katanya.

Menurutnya, dia dan beberapa mangsa lain terselamat dengan berpaut pada serpihan-serpihan kapal tersebut sehingga mereka ditemui oleh nelayan tempatan.

Dia menganggarkan terdapat lebih 40 kanak-kanak di atas kapal tersebut. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia: 'via Blog this'

No comments: