Tarikh : November 29, 2011
KAHERAH - Beberapa jam sebelum pilihan raya pertama di Mesir bermula, semalam negara itu dikejutkan dengan dua kejadian letupan dalam tempoh seminggu di saluran paip membekalkan gas ke Israel dan ia dipercayai angkara tindakan sabotaj yang dilihat sebagai percubaan untuk menggagalkan proses pengundian.
Agensi berita Mena melaporkan, saksi mendakwa mereka melihat sekumpulan lelaki bertopeng menanam bahan letupan tersebut di bawah saluran paip di bandar Al-Arish, utara semenanjung Sinai.
Insiden letupan kedua yang menyebabkan api semakin marak dilaporkan berlaku sekitar 100 meter dari lokasi kejadian pertama.
Pegawai keselamatan menyatakan ia adalah kejadian letupan kesembilan sejak pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak digulingkan, Februari lalu.
Sementara itu, pilihan raya pertama secara tiga fasa selepas 10 bulan kejatuhan pemerintahan Mubarak selama 30 tahun berlangsung dalam keadaan terkawal walaupun negara tersebut masih dibelenggu keganasan penunjuk perasaan dan krisis politik.
Ribuan penduduk di bandar utama seperti Kaherah dan Iskandariah telah terlebih dahulu membuang undi dalam pilihan raya dalam fasa pertama.
Kira-kira 50 juta penduduk yang mahukan pemerintahan bercorak demokrasi di negara itu layak mengundi sehingga awal tahun hadapan mengikut wilayah masing-masing dan keputusan pilihan raya tersebut dijangka akan diumumkan pada 13 Januari depan.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment