PUTRAJAYA: Hanya kerana gilakan harta, seorang wanita sanggup memukul bapa angkatnya tanpa belas kasihan sehingga warga emas terbabit terpaksa menerima beberapa jahitan di kepala.
Lebih malang, warga emas dan isterinya yang mengalami angin ahmar terpaksa disembunyikan di tempat lain oleh kariah masjid bagi mengelakkan perbuatan kejam anak angkat warga emas itu berulang.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu dipercayai dilakukan hanya kerana bapa angkatnya yang berusia 70 tahun enggan menukar hak milik dua rumah milik warga emas itu kepada nama wanita berkenaan.
Mendedahkan perbuatan tidak bertanggungjawab wanita berkenaan, Pengasas Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Muji Sulaiman berkata, anak pasangan berkenaan yang dipercayai hilang pertimbangan dan memukul kepala bapa angkatnya tanpa perasaan belas kasihan apabila warga emas itu enggan berbuat demikian.
“Pasangan warga emas itu mengambil wanita itu sebagai anak angkat sejak bayi memandangkan mereka tidak dikurniakan anak dengan harapan dia dapat menjaga mereka ketika tua.
“Namun, harapan mereka musnah apabila anak perempuannya gelap mata dengan harta yang dimilikinya. Warga emas itu mengaku sudah menukar hak milik tanah miliknya kepada nama anaknya.
“Tetapi dia masih tidak berpuas hati dan meminta bapanya memindahkan hak milik dua rumah kepada namanya dan apabila bapanya enggan, dia memukul lelaki malang itu di kepala,” katanya.
Akibatnya, warga emas malang itu terpaksa menerima beberapa jahitan di kepala dan tidak berani pulang ke rumah kerana bimbang dipukul semula anak perempuan mereka.
“Kariah masjid yang mengetahui kejadian berkenaan bertindak membawa pasangan suami isteri itu keluar dari rumah dan ditempatkan di sini sejak sebulan lalu bagi mengelakkan mereka terus menjadi mangsa anak perempuannya.
“Namun, isteri warga emas itu bernasib baik kerana tidak diapa-apakan, mungkin kerana keadaannya yang tidak mampu berjalan dan lumpuh akibat angin ahmar,” katanya.
Muji berkata, ketika dihantar keadaan pasangan berkenaan menyedihkan dan mereka mengakui tidak menyangka anak yang dijaga dengan penuh kasih sayang sejak bayi sanggup berlaku kejam terhadap mereka.
Beliau berkata, perbuatan anak perempuan pasangan itu ibarat ‘susu yang diberi tuba yang dibalas’ kerana sanggup memperlakukan ibu bapa mereka sedemikian rupa.
Beliau berkata, selepas lebih sebulan berada di pusat jagaan itu, keadaan kesihatan kedua-dua warga emas itu bertambah baik, malah isteri warga emas itu juga sudah boleh berjalan menggunakan alat bantuan ‘walker’.
Pada masa sama, beliau menasihatkan ibu bapa menitik- beratkan ajaran agama kepada anak dan tidak terlalu bekerja keras bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku.
Katanya, kebanyakan kes ini berlaku terhadap anak yang tidak mempunyai pengetahuan agama dan ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan pekerjaan sehingga mengabaikan anak tanpa disedari.
“Kita jangan terlalu meminta anak mengejar ilmu akademik semata-mata dan mengabaikan ilmu agama kerana perbuatan ini pasti memberi kesan negatif kepada anak.
“Malah, luangkan masa berkualiti dengan anak bagi mengelakkan mereka rasa terpinggir dan tidak mustahil mereka memperlakukan perbuatan sama apabila dewasa kelak.
“Tak guna kalau ketika kecil kita gembira dengan kejayaan mereka, tetapi apabila sudah tua, kita terpaksa menangis diabaikan anak,” katanya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment