KAHERAH 28 Nov. – Rakyat Mesir hari ini keluar mengundi pada pilihan raya Parlimen pertama negara ini, selepas bekas Presiden Hosni Mubarak disingkirkan dalam satu pemberontakan pada Februari lalu.
Pusat-pusat pengundian dibuka seawal pukul 8 pagi waktu tempatan di sembilan daripada 27 daerah bagi pusingan pertama pilihan raya Parlimen yang berlangsung selama dua hari hingga esok.
Menurut statistik kerajaan, seramai 17.5 juta pemilih layak mengundi yang menyaksikan 3,809 calon bertanding bagi merebut 168 kerusi Parlimen.
Pusat pengundian dijadual ditutup pada pukul 7 petang waktu tempatan (1 pagi waktu Malaysia).
Pilihan raya itu dilihat sebagai satu proses penting bagi kebanyakan rakyat Mesir yang berharap untuk mencapai pemerintahan demokrasi selepas berdekad-dekad berada di bawah pemerintahan diktator.
Bagaimanapun, ia dicemari huru-hara ekoran tunjuk perasaan antikerajaan, sekali gus memperlihatkan kekeliruan di kalangan rakyat tentang arah tuju Mesir.
Di Kaherah, pengundi beratur panjang di luar pusat-pusat pengudian sebelum ia dibuka, satu petanda luar biasa yang ditunjukkan orang ramai yang berminat dengan politik selepas berdekad-dekad menunjukkan sikap acuh tidak acuh.
“Saya mengundi untuk kebebasan. Kami telah lama hidup seperti hamba. Kini kami mahukan keadilan dan kebebasan,” kata Iris Nawar, 50, di daerah Maadi, pinggir bandar Kaherah.
Parti-parti Islam yang diiktiraf secara rasmi selepas kejatuhan Mubarak, dijangka menang besar dalam pilihan raya tiga pusingan itu yang akan berlangsung sehingga 10 Januari ini.
Parlimen baru perlu membentuk satu jawatankuasa untuk merangka Perlembagaan baru sebelum pilihan raya Presiden yang akan diadakan pada akhir Jun tahun depan. – Agensi
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment