Pages

Thursday, September 22, 2011

Pembunuhan Burhanuddin Rabbani burukkan lagi krisis di Afghanistan



KABUL 21 Sept. – Rakyat Afghanistan hari ini memprotes bagi meluahkan kemarahan mereka terhadap pembunuhan bekas Presiden, Burhanuddin Rabbani (gambar), yang dianggap bakal menjerumuskan negara ini ke dalam pergolakan lebih buruk.
Rabbani, 71, Presiden Afghanistan semasa perang saudara 1992-96, dibunuh di kediamannya oleh seorang pengebom berani mati Taliban yang memakai serban mengandungi bahan letupan, kata polis.
Pegawai kanan Rabbani berkata, penyerang dan seorang rakannya dijemput ke vila itu sebagai utusan yang membawa ‘mesej khas’ daripada Taliban.
Pengebom memeluk Rabbani lalu meletupkan bahan letupan di dalam serbannya.
Walaupun belum ada pengakuan daripada Taliban, pembunuhan beliau memberi tamparan hebat kepada harapan untuk menamatkan perang sejak 10 tahun lalu antara Taliban dengan kerajaan Afghanistan yang dibantu oleh tentera Barat.
Presiden Hamid Karzai hari ini bergegas pulang ke Afghanistan, selepas memendekkan lawatannya ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dan menemui Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, sementara persiapan dijalankan untuk pengebumian Rabbani.
Rabbani ialah tokoh politik paling berprofil tinggi yang mati dibunuh sejak rejim Taliban digulingkan dalam serangan tentera bersekutu pimpinan AS pada 2001, dan pembunuhannya berlaku dua bulan selepas adik lelaki Karzai sendiri dibunuh di kubu kuat Taliban di selatan negara ini. – AFP

No comments: